StatCounter

Thursday, 6 August 2015

Teruskan Tugas Murni,
Wira Pejuang Pencegahan Rasuah

Sambil menyifatkan warga kerja SPRM, khususnya pegawai-pegawai yang mengendalikan siasatan kes SRC International sebagai "wira", Datuk Haji Mustafar Ali berharap tugas dan tanggungjawab akan terus dilaksanakan dengan penuh amanah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) berkata: "Kepada semua pegawai SPRM, khususnya mereka yang terlibat dalam penyiasatan kes ini dan semua pegawai yang bersama mendokong tugas secara kolektif.""Saya penuh yakin semua pegawai akan meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan dengan semangat yang tinggi. Kekalkan dan perkukuhkan semangat esprit de corps sambil sentiasa memegang niat yang tulus ikhlas dalam usaha membanteras rasuah," kata beliau yang sedang menjalankan tugas-tugas Ketua Pesuruhjaya.
"Semua pertanggungjawaban yang dijalankan dengan niat suci murni dan berlandaskan undang-undang merupakan tuntutan sistem keadilan jenayah," kata Datuk Mustafar ketika ditemui di Bahagian Operasi Khas selepas menyambut Penolong Kanan Pesuruhjaya Tuan Ruslan Tuan Mat dan Penolong Pesuruhjaya Rosli Hussain kira-kira 11 malam tadi.Datuk Mustafar juga berkata, amanah ini juga adalah tuntutan agama dalam menegakkan amal makruf dan mencegah kemungkaran.

Kedua-dua Penolong Kanan Pesuruhjaya Tuan Ruslan dan Penolong Pesuruhjaya Rosli ditangkap oleh polis untuk tujuan soal siasat kira-kira 5.30 petang tadi.
Hari ini, tiga pegawai termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), Dato' Tan Kang Sai telah dipanggil untuk hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada petang tadi.
Dato' Tan telah berada di IPD Putrajaya kira-kira tiga jam dari pukul 3 petang.Selain beliau, Penolong Kanan Pesuruhjaya Tuan Ruslan dan Penolong Pesuruhjaya Rosli yang terlibat dalam siasatan berkaitan SRC International telah diminta hadir di IPD Putrajaya petang tadi.

Kedua-dua mereka kemudian telah ditangkap.Bilik kedua-dua mereka di BOK di Presint 3 Putrajaya dan rumah mereka telah digeledah oleh polis. Dokumen dan laptop juga telah diambil oleh polis. Kita sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.Salah seorang daripada pegawai itu merupakan pegawai penyiasat kes SRC International.

Turut hadir menyambut mereka, Pengarah BOK, Dato' Bahri Mohamad Zain dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Dato Norazlan Mohd Razali. Selain mereka, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalee Abdul Khairi juga hadir sama.Terdahulu ketika ditemui wartawan di lobi Menara Prisma di sini, Datuk Mustafar berkata, "saya ingin menegaskan bahawa SPRM akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional."Ditanya adakah sama ada tangkapan ini menganggu siasatan terhadap kes yang disiasat oleh SPRM, beliau menjelaskan, "ia sedikit sebanyak mengganggu kelancaran proses siasatan kerana peralatan seperti laptop pegawai-pegawai bertugas telah diambil oleh pihak polis."Setakat ini tujuh pegawai telah dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung dakwaan kebocoran maklumat.

Selain Dato' Bahri, Dato' Tan, Penolong Kanan Pesuruhjaya Tuan Ruslan, Penolong Pesuruhjaya Rosli dan Tuan Sazalee, turut disiasat Pengarah Bahagian Forensik, Dato' IG Chandran dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Arafat Ibrahim.

No comments:

Post a Comment