Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap perkongsian maklumat mengenai
strategi pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa akan dipertingkatkan bagi
membolehkan jenayah rasuah dapat diperangi dengan lebih berkesan.
Timbalan
Ketua Pesuruhajaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Mohd. Jamidan
Abdullah berkata, perkongsian maklumat mengenai kaedah pencegahan rasuah dari
pelbagai agensi di seluruh dunia merupakan cara berkesan untuk meningkatkan
kapasiti menangani isu rasuah di negara masing-masing.
Bagi
tujuan tersebut kata beliau, SPRM sedia untuk menyediakan sokongan dan
kemudahan.
Malaysia
akan menjadi tuan rumah Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16,
yang akan berlangsung mulai 2 hingga 4 September 2015. Ia akan berlangsung di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. SPRM kali pertama
menganjurkan persidangan itu.
Berucap
menutup Kursus Persijilan Eksekutif Bagi Pengurusan Strategik Antirasuah di
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur Jumaat lepas, Dato'
Mohd Jamidan berkata, setiap pihak harus memberi tumpuan kepada perancangan dan
pelaksanaan berkaitan pencegahan rasuah kerana rasuah merupakan ancaman utama
kepada negara.
Katanya,
ketika ini perkara tersebut sering diabaikan oleh kebanyakkan pihak walaupun
menyedari kesan buruknya.
“Kelemahan-kelemahan
ini secara tidak langsung akan memberi ruang kepada mereka yang tidak
bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan.
“Oleh
itu kita perlu bertindak balas terhadap ancaman global ini dan kegagalan
berbuat demikian akan mengkhianati generasi akan datang," katanya.
Persidangan
pencegahan rasuah yang terbesar di dunia tersebut dijangka akan disertai
pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari seluruh dunia yang akan berkongsi
mengenai kemajuan dan cabaran dalam usaha memerangi rasuah.
Persidangan
Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 yang julungkalinya diadakan di Malaysia
akan menyediakan platform holistik kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan
pengalaman mereka dalam memerangi rasuah dengan lebih berkesan.


No comments:
Post a Comment