StatCounter

Tuesday, 27 March 2018

AGRESIF SPRM BUAT PERASUAH PANAS



Kecoh hari ini apabila ada sebuah portal melaporkan berita yang hanya dipetik daripada sumber yang tidak sahih.

Maka ramailah netizen menurunkan komen sinikal susulan tomahan yang  kotor dan keji serta serangan berbentuk peribadi terhadap pemimpin SPRM.

Jelas sekali, reaksi dibuat menunjukkan ramai ‘sayang’ terhadap SPRM dan mahu memerangi isu rasuah.

Apa yang pasti penulis yakin, SPRM di bawah kepemimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkili Ahmad telah mewujudkan satu kesedaran luar biasa dalam kalangan rakyat berhubung perbuatan rasuah dan salah guna kuasa. Di bawah kepemimpinan beliau juga, rakyat semakin memahami erti integriti dan tadbir urus yang baik khususnya melibatkan perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Dalam usaha memastikan apa yang dilakukan oleh SPRM bukanlah cakap-cakap kosong pelbagai penangkapan dan pendakwaan dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak termasuklah ahli politik.

Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran telah memulakan prosidingnya. Hal ini pasti membuatkan perasuah kepanasan.

Tidak cukup dengan itu Dzulkifli melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang kini sedang menjelajah ke seluruh negara bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya menjauhi rasuah.

Dari segi integriti pula, SPRM melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani oleh kerajaan-kerajaan negeri, jabatan kerajaan dan pelbagai pihak lain. IBR memberi penekanan kepada ikrar serta janji yang dibuat dalam kapasiti sebagai individu, untuk menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindari diri daripada terlibat dengan godaan rasuah dan salah guna kuasa, sepanjang melaksanakan tugas.


Kalau mahu dilihat dari setiap sudut tindakan yang telah dilaksanakan oleh SPRM sememangnya ramai berada dalam keadaan ‘kegerahan’.

Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini, SPRM mula ‘diserang’ dan sudah tentulah sasaran serangan ‘ditujukan khas’ kepada Ketua Pesuruhjayanya melalui ‘pembunuhan karakter’.

Taktik kotor dan jijik tersebut digunakan dengan harapan mewujudkan kesangsian atau persepsi dalam kalangan rakyat terhadap peribadi dan kredibiliti SPRM.

Perbuatan jahat itu dilakukan kerana mereka semakin ‘kegerahan’ berikutan tindakan agresif Dzulkifli yang memastikan SPRM bertindak tanpa memilih bulu.

Kita perlu anggap rasuah ‘musuh semua’, bukannya menjadikan SPRM sebagai musuh atau menyerang SPRM.

Tangkap dan bawalah kes ke mahkamah. Prestasi inilah menyebabkan pihak-pihak  yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan tidak dapat tidur lena kerana ‘kegerahan’ melihat ketegasan SPRM.

Wednesday, 22 November 2017

SANG KELEMBAI NAK JADI SPRM KE?


Mempolitikkan isu rasuah hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Jika disebut tentang kekangan, adalah persepsi yang mana kalau isu rasuah dipolitikkan akan timbulkan persepsi negatif, sebab kalau dari segi fakta kita akan memperlihatkan ketelusan kita.

Jika persepsi berterusan dan persepsi negatif dilemparkan terutama terhadap agensi yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memerangi rasuah, ini akan menjejaskan usaha baik yang dilaksanakan.

Contohnya satu Produk yang sudah ketinggalan bak kata pepatah "Rumah Kata Pergi Kubur kata Mari" Namun riak dan egonya masih menyangka dirinya masih up to date macam anak muda.

Sedarlah rambut pun dah beruban.... Jika dahulu dizaman katak bawah tempurung bolehlah nak berlagak sakan tapi sekarang nie zaman dah berubah, Nak berdebat akan tetapi penakut dan bacul.

Siapa yang penulis maksudkan?

Sebut sahaja Zaharin Mohd Yasin, semua ahli Umno mengenali bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu. Zaharin juga lebih dikenali sebagai Sang Kelembai, seperti nama blognya yang secara konsisten menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri.

Selepas Pak Lah jatuh, blog Sang Kelembai tidak aktif lagi. Sebelum ini Zaharin secara konsisten menghentam Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada dalam Umno sehingga beliau dipecat dari Umno pada tahun 1998. Oleh itu Zaharin juga ada saham dalam menjatuhkan Anwar Ibrahim.

Bagi penulis, apa yang ditulis oleh Zaharin aka Sang Kelembai hanyalah penulisan bersifat politik dan kosong tanpa sebarang fakta.

Penulis hanya melihat luahan Sang Kelembai hanyalah imiginasinya semata-mata, maklumlah dikatakan Sang Kelembai ini pun suka ‘PAU’ orang-orang politik. Betul ke?

Jika betul, cukup-cukuplah menjadikan SPRM sebagai alat politik semata-mata untuk memuaskan nafsu anda yang kononya memahami prosedur tetapi hakikatnya otak kosong.

Lihatlah penulisan Sang Kelembai yang hanya mempolemikkan apa yang dilakukan SPRM kerana tindakan SPRM ini membuktikan kredibiliti agensi tersebut. Langkah SPRM ini menunjukan keseriusan SPRM memerangi rasuah.

Jika anda benar-benar fikirkan  soal maruah... Sang Kelembai sepatutnya bersama-sama SPRM dalam memerangi rasuah dan penyelewengan.

Tetapi sebaliknya Sang Kelembai dilihat lebih gemar mengambil kesempatan dalam menggunakan isu rasuah untuk menjatuhkan pihak lawan.

Mereka ini secara tidak langsung telah mempengaruhi  persepsi masyarakat terhadap isu rasuah di negara ini.

Ironinya memang sukar untuk mencari  yang benar-benar komited memperkatakan isu rasuah di negara ini, selain menunding jari kepada lawan, dan membuat tohmahan, baik pemerintah dan pembangkang, mereka sering dilihat mengambil kesempatan memperbesarkan isu berkaitan SPRM.


Akibat terlalu banyak menggunakan isu rasuah dalam urusan politik, maka masyarakat yang dilihat hari ini adalah masyarakat yang mempunyai persepsi pelbagai terhadap isu rasuah, mengikut fahaman politik yang dipegang mereka.

Thursday, 19 October 2017

TEGUH BERSAMA SPRM, HAPUSKAN RANGKAIAN "RASUAH BERJEMAAH"


"Saya tidak akan tunduk terhadap serangan berbentuk peribadi. Saya tetap bertekad untuk terus memerangi rasuah."

Itu jawapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ketika mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan beliau terbabit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.

"Kami tidak akan tunduk kepada tekanan. Kami akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab kami untuk memastikan negara ini bebas daripada pihak yang terbabit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Tuduhan yang dilemparkan ini adalah tindakan yang kotor dan keji, dengan niat untuk merosakkan reputasi saya dan usaha SPRM dalam memerangi rasuah," katanya ketika diwawancara TV3, beberapa hari lepas.

Dzulkifli berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ternyata bukan mudah untuk membersihkan negara ini daripada anasir rasuah. Ada sahaja cabaran yang terpaksa dilalui terutama oleh anggota penguat kuasanya.

Terbaharu serangan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM. Cara serangan itu dilakukan menunjukkan ia bukan dilakukan oleh calang-calang orang.

Daripada video dengan dakwaan cuba memikat isteri orang dan bagaimana sebaran dilakukan, penulis cenderung percaya gerakan ini dilakukan oleh kumpulan profesional. Mereka terlihat begitu terlatih menyediakan profil serba lengkap yang bertujuan membunuh karakter seseorang.

Motifnya jelas, mereka mahu Dzulkifli keluar daripada agensi itu. Mereka mahu SPRM tunduk kepada kehendak kumpulan ini. Ugutan seperti ini tidak boleh dibenarkan sama sekali. Kita tidak boleh lagi berundur ke belakang.

Daripada cakap-cakap di luar yang penulis dengar, serangan ini ada kaitan dengan aktiviti judi haram.

Kumpulan rangkaian "rasuah berjemaah" ini juga dikatakan mempunyai kepentingan politik dan mempunyai ‘hubungan’ rapat dengan pengurusan kanan pasukan penguat kuasa.


Benarkah dakwaan ini?

Monday, 16 October 2017

ANTARA "WIRA RASUAH" BERDENDANG DAN RANGKAIAN "RASUAH BERJEMAAH"




Perlu diakui dalam konteks yang tersendiri perlakuan rasuah di negara ini serius walaupun data menunjukkan ia terkawal. Terlalu banyak kes terutama melibatkan penegak undang-undang terlibat makan rasuah.

Ada yang sampai ke tahap berbangga mempertontonkan hasil rasuah mereka. Inilah yang sebenarnya begitu membimbangkan.

Masih ingatkah kita dengan  sekumpulan pegawai kanan polis di Bukit Aman ditukarkan dan ditahan kerana didakwa melindungi sindiket dadah.

Kemudian sekumpulan anggota polis di Melaka ditahan kerana disyaki ambil imbuhan bagi melindungi pengusaha pusat judi dan rumah urut.

Penguat kuasa lindungi aktiviti haram - cerita biasa kita dengar. Masyarakat sudah lali.

Cuma kali ini tindakannya agak luar biasa. Rangkaian "rasuah berjemaah" daripada ketua polis daerah, anggota biasa serta orang hubungan diberkas. Akaun bank bernilai RM459,000 milik sembilan individu termasuk enam pegawai kanan dipercayai melindungi aktiviti haram di sekitar Melaka itu dibekukan.

Wang tunai bernilai RM186,000 ditemukan di rumah suspek. Kemudiannya wang tunai RM800,000 ditemukan di stor rumah polis milik seorang koperal. Wang itu dipercayai daripada tauke-tauke judi haram sejak awal tahun ini.

Tindakan seperti ini memang sangat dinanti-nantikan masyarakat. Mereka sudah lelah dan bosan dengan cerita klise si tauke dilindungi polis seperti tiada siapa peduli dengan rantaian rasuah itu.

Bagaimanapun, masih timbul persoalan apa terjadi terhadap individu dikenali dengan ‘Gopi’ yang sebelum ini ditahan kerana dipercayai menjadi orang tengah di antara pihak berkuasa dengan sindiket judi.

Bukan kecil peranannya, ini kerana Gopi didakwa turut membantu mewujudkan sebuah konsortium bagi mengumpul dana dalam kalangan operator judi, khusus untuk tujuan pengagihan wang rasuah kepada pihak penguat kuasa.

Malah dia turut dikatakan mempunyai ‘kuasa’ menukarkan pegawai kanan termasuk Ketua Polis daerah yang enggan bekerjasama dalam melindungi sindiket judi haram.

Selain itu, media turut melaporkan Gopi berupaya berbuat demikian kerana mempunyai ‘hubungan’ rapat dengan pengurusan kanan pasukan penguat kuasa. Benarkah dakwaan ini?

Soalnya sekarang, adakah Gopi masih dalam siasatan? Apa tindakan terhadapnya walaupun dia adalah antara tiga orang awam yang ditahan bersama-sama 11 pegawai termasuk anggota polis pada Mei lalu kerana didapati melindungi premis judi serta rumah urut di Melaka.




Sama ada dia bersalah atau tidak itu soal lain, sebaliknya orang ramai ingin tahu apa perkembangan Gopi yang sebelum ini turut mendakwa dia mempunyai senarai nama anggota penguat kuasa yang terlibat melindungi rangkaian haram berkenaan. 

Sunday, 15 October 2017

KITA YANG PENTINGAN DIRI, PEJAM MATA DAN PEKAKKAN TELINGA?


‘Rasuah Musuh Nombor 1 Negara’ dilihat cukup signifikan kerana mutakhir ini masalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilihat semakin kritikal dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk memeranginya dari peringkat akar umbi lagi.

Hakikatnya tugas dan tanggungjawab memerangi rasuah tidak boleh disandarkan pada bahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata. Walaupun memang betul itu adalah tugas hakiki SPRM namun setiap seorang daripada kita juga ada peranan dalam memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada amalan rasuah.

Penulis agak tertarik dengan sasaran yang ditetapkan SPRM iaitu menjadikan ‘RASUAH MUSUH NOMBOR 1 NEGARA’. Walaupun sasaran itu terlalu ideal namun penulis percaya ia tidak mustahil untuk dicapai andai seluruh rakyat memberikan sokongan dalam setiap usaha membanteras rasuah.

Perlu diingatkan sepanjang tahun ini saja, tangkapan demi tangkapan membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi. Beberapa orang penjawat awam dan pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan ditahan membabitkan nilai rasuah yang cukup tinggi termasuk rampasan dalam bentuk wang tunai dan aset seperti kereta dan rumah.

Gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mengenal usia, agama mahupun bangsa. Baik belia mahupun golongan dewasa semuanya boleh terjebak dengan mudah andai gagal membudayakan nilai-nilai integriti yang tinggi. Justeru, masalah ini harus dilihat dalam konteks yang lebih meluas.

Dalam hal ini masyarakat boleh memainkan peranan dengan membantu agensi penguatkuasaan memerangi rasuah secara menyeluruh.

Masyarakat juga perlu bertindak sebagai telinga dan mulut kepada pihak berkuasa. Seperti kata SPRM, mencegah rasuah bukan usaha eksklusif agensi itu semata-mata sebaliknya rakyat perlu membantu dan memberikan sokongan sepenuhnya.

Dalam konteks ini, orang ramai wajar berani melaporkan sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku di sekeliling. Ini adalah tanggungjawab sosial dan juga moral setiap warganegara yang mahukan negara ini bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.

Penulis percaya ramai dalam kalangan kita tahu atau terdedah kepada maklumat tentang amalan rasuah mahupun salah guna kuasa di sesebuah jabatan namun memilih untuk memejamkan mata dan memekakkan telinga.

Kebiasaannya kita hanya akan marah mahupun bertindak jika ia melibatkan diri mahupun keluarga kita.

Sikap mementingkan diri seperti inilah yang menyebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di negara ini.

Monday, 11 September 2017

Bertindaklah SPRM demi Alam Sekitar yang telah digadai


Meskipun dengan kesibukan jadual harian, adalah perlu untuk kita meluangkan sedikit masa berfikir dan bertanya apa yang patut dilakukan untuk menangani pelbagai ancaman alam sekitar yang dihadapi di bumi ini.

Hakikatnya, manusia sendiri telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Malangnya, perlakuan itu jarang-jarang sekali direnungkan bersama.

Manusia telah mencapai kedudukan yang aneh di mana walaupun ramai orang dari pelosok bumi keluar untuk melindungi alam sekitar namun masalah ini masih tidak dapat ditangani.

Kita telah banyak mengalami banjir kilat dan tanah runtuh dan pengajaran dari bencana lepas ini masih belum dipelajari dan diserap.

Sebagai pemegang amanah kepada sumber planet dan kepelbagaian geobiologi, kita perlu menggunakan sumber asli kita dengan cara yang betul dengan memastikan pemuliharaannya. Sebagai pemegang amanah, ia akan memaksa kita untuk mengekang tindakan kita dengan kesederhanaan dan keseimbangan.

Bahkan isu pencemaran semakin menjadi-jadi di negara ini dan dilihat tiada kesudahannya sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif termasuk kemusnahan alam sekitar serta kesihatan umum.

Permasalahan ini menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Jika diteliti, beberapa kes alam sekitar yang didedahkan di akhbar-akhbar seperti semuanya melibatkan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas melakukan siasatan berhubung kes pencemaran alam sekitar membabitkan aktiviti perlombongan bauksit dan pembalakan haram yang berlaku di Malaysia adalah wajar.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pasukan penyiasat SPRM sedang mengumpul serta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku di beberapa buah negeri.

“Jika didapati wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa, kita akan mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai isu alam sekitar yang didedahkan mempunyai kaitan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga dalang yang melakukan pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar terus bermaharajalela tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Malah, individu-individu tidak bertanggungjawab ini akan terus mengambil kesempatan sehingga tidak gentar melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan orang ramai jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Sedarlah sejarah mengajar kita manusia tentang peradaban dan ini akan dimusnahkan jika tidak berdamai dengan alam sekitar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan alam sekitar berhubung dengan peradaban.

Bolehkah sesuatu yang dilakukan untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar?

Lebih menyedihkan, apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi dengan bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Justeru tindak SPRM amatlah tepat. Bersihkanlah agensi-agensi penguat kuasa kita. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu 'menghidangkan' rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka. Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana penulis yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.




Thursday, 7 September 2017

GODAAN DUNIAWI DAN KENYAMANAN KEHIDUPAN HEDONIS


Gejala rasuah ke belakangan ini semakin merimaskan berikutan merebaknya kes rasuah yang membabitkan banyak pihak. Terbaharu kita digemparkan dengan penahanan sepasang suami isteri yang juga pensyarah sebuah Universiti Awam, direman bagi membantu siasatan membabitkan salah guna kuasa dengan nilai kira-kira RM52,000.

Penahanan dibuat selepas pasangan tersebut disyaki menyalahgunakan kuasa sebagai penjawat awam dengan mencadangkan kepada pihak pengurusan fakulti untuk memilih syarikat milik mereka bagi pembelian barang makmal serta perkhidmatan penyelidikan membabitkan nilai RM52,000 antara Mac 2015 dan Jun 2016.

Rasuah datang dalam pelbagai kaedah. Kebiasaannya, orang yang dijadikan sasaran ialah mereka yang mempunyai kedudukan atau ada kuasa membuat keputusan berhubung dengan apa yang diinginkan itu.

Menurut anggaran terbaru, negara dikatakan mengalami kerugian besar jika gejala rasuah tidak dapat dibendung. Benarkah???

Dalam konteks rasuah di Malaysia, paling banyak kita menerima laporan ialah mengenai salah laku penjawat awam.

Penjawat awam berkenaan dilaporkan mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2008 dan ditahan bersama-sama lapan kontraktor, termasuk seorang wanita dari syarikat pengurusan acara yang diberikan kontrak. Kontraktor berkenaan didakwa telah membantu penjawat awam itu memiliki beberapa buah kereta mewah, barangan kemas, beg berjenama, unit amanah dan melancong ke luar negara.

Ingatkah kita dengan peringatan Ketua Setiausaha Negara juga telah memberi bahawa tindakan segera yang boleh diambil ke atas penjawat awam yang melanggar peraturan berdasarkan PERATURAN 43, PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI AWAM (KELAKUAN DAN TATATERTIB) 1993, DAN MENGEMUKAKAN PERAKUAN “PERINTAH TAHAN KERJA.”

Apabila seseorang penjawat awam dikenakan “PERINTAH TAHAN KERJA”, pegawai berkenaan tidak akan menikmati apa-apa lagi kemudahan sebagaimana ketika beliau berkhidmat.

Selama proses itu berjalan, dari siasatan dan keputusan mahkamah dibuat, pegawai berkenaan tidak mem­peroleh apa-apa emolument atau elaun. Sekiranya proses berkenaan mengambil masa bertahun-tahun lamanya, penjawat awam berkenaan akan “MENDERITA” sepanjang tempoh berkenaan. Jika didapati bersalah, hukuman berat akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk dipenjarakan.

Semua orang tahu bahawa bahawa rasuah merupakan perbuatan yang tercela dan melanggar undang-undang sehingga ramai yang membenci rasuah. Namun ramai yang terjebak dengan amalan rasuah kerana mendatangkan keuntungan duniawi secara pantas sehingga ia ‘DIRINDUI’.

Kadang-kadang dalam hati pelaku rasuah muncul perasaan bercampur baur antara benci dan rindu. Dibenci kerana rasuah membahayakan sistem dan kepentingan orang ramai, namun ‘dirindui’ kerana kemampuannya menghasilkan kepentingan material dalam sekelip mata.

Penulis yakin bahawa ‘PERTARUNGAN’ batin mempertaruhkan benci dan rindu seperti itu sentiasa ada di dalam dada para pelaku perasuah.

Namun seringkali godaan duniawi dan kenyamanan kehidupan hedonis menjadikan faktor kebencian kerap dikesampingkan dan kerinduanlah yang didakap sebagai pilihan sehingga yang disebut terakhir inilah yang akan memenangkan pertarungan batin itu.

Kerinduan itu semakin menjadi-jadi dan keinginan untuk melampiaskannya semakin terbuka lebar ketika apabila undang-undang dan penguatkuasaan tidak ditegakkan. Ketelusan dan urustadbir tidak berjalan serta rakyat tidak ada yang mengawal dan menilai perjalanan pentadbiran.

Situasi seperti inilah yang menjadikan gejala rasuah semakin merebak di semua peringkat masyarakat. Jika keadaannya seperti itu, tidak adakah kaedah yang berkesan bagi menghentikan gejala negatif ini?

Sudah tentu pasti ada. Pilihannya kembali ke tangan kita seberapa jauh komitmen dan kesungguhan membanteras rasuah ini sungguh-sungguh dijalankan?

Bak pepatah ‘tidak ada keruh yang tidak akan jernih, tidak ada kusut yang tidak akan selesai’ bila kita mahu menggunakan hati nurani dan akal sihat dalam menghapus rasuah.

‘Kembali ke pangkal jalan’ dan menghidupkan lagi cara hidup yang sederhana.

‘Kembali dan ingat lagi ke ajaran agama’ dan meletakkan ajaran Allah sebagai pegangan dan sumber segala perkara. Kukuhkan lagi keupayaan rakyat sebagai ‘SOCIAL CONTROL’ bagi mengawasi semua pihak yang berpotensi melakukan rasuah.