StatCounter

Thursday, 3 September 2015

MALAYSIA TUAN RUMAH PERSIDANGAN ANTIRASUAH ANTARABANGSA KE-16, PERTEMUAN TERBESAR DUNIA



1.     Buat julung kali, Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 – pertemuan pencegahan rasuah yang terbesar, bakal menyaksikan penyertaan pakar-pakar terkemuka  pelbagai jurusan dari seluruh dunia, dan berkongsi maklumat terkini mengenai kemajuan dan cabaran dalam usaha memerangi rasuah.

2.     Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kali ini kerana Malaysia dilihat sebagai negara yang memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam usaha memerangi rasuah di rantau Asia.

3.     Pemilihan Kerajaan Malaysia dan SPRM sebagai tuan rumah IACC Kali Ke-16 merupakan satu penghormatan.

4.     Persidangan kali ini bertemakan "Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti, Tindakan" (Ending Impunity: People. Integrity. Action).

5.     IACC kali ini dianjurkan bersama oleh Majlis Penasihat IACC, Transparency International (TI) dan Transparency International Malaysia (TI-M).

6.     IACC merupakan forum utama dunia yang membawa bersama ketua-ketua negara, masyarakat, sektor swasta dan yang lain untuk menangani cabaran-cabaran yang semakin sofistikated dalam usaha memerangi rasuah.

7.     IACC berlangsung setiap dua tahun sekali.

8.     Persidangan ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 September 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

9.     Ia akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan. Beliau merupakan bekas Presiden TI-M.

10.                         Malaysia komited untuk belajar dan berkongsi maklumat dengan rakan-rakan antirasuah dari seluruh dunia.

11.                         Pertemuan di Malaysia akan menyediakan platform holistik kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka bagi memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

12.                         IACC Kali Ke-16 dijangka menarik sehingga 1,000 peserta dari lebih 130 negara dan memupuk pertukaran pengalaman global dan kaedah berkesan melawan rasuah.

13.                         Lebih 30 pemimpin global telah mengesahkan kehadiran mereka untuk berucap pada kali ini.

14.                         Yang akan hadir ialah sebagai penceramah berinspirasi kali ini ialah Jose Angel Gurria, Daniel Kaufmann, Presiden Institut Tadbir Urus Sumber Asli dan Fellow Kanan Program Ekonomi dan Pembangunan Global, Brookings Institution, dan Patrick Alley, Pengasas Bersama Global Witness.

15.                         Pemimpin lain terdiri daripada Akere Muna, Pengerusi Majlis IACC; Anna Bossman, Pengarah Jabatan Integriti dan Pencegahan Rasuah, Bank Pembangunan Afrika; Cobus de Swardt, Pengarah Urusan Transparency International; Aruna Roy, aktivis dan pengasas Mazdoor Kisan Shakti Sangathan, India; Salil Shetty, Setiausaha Agung Amnesty International dan Pascal Lamy, bekas Ketua Pengarah WTO.

16.                         Selain Datuk Paul Low, antara yang akan turut membentangkan kertas kerja ialah Datuk Akhbar Satar, Presiden TI-Malaysia; Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak; Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tunku Abdul Aziz Ibrahim, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Datuk Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Pencegahan) SPRM.

17.                         Siri bengkel juga akan dijalankan sepanjang IACC Kali Ke-16.

18.                         Bagi program dan butiran terperinci mengenai IACC Kali Ke-16 boleh melayari laman 16iacc.org.

Dalam sidang media hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, peningkatan bilangan peserta daripada lebih 130 buah negara hingga ke peringkat akhir persidangan menunjukkan isu yang bakal dibincangkan nanti merupakan perkara yang amat penting serta menjadi tumpuan.

Beliau berkata, setakat ini penglibatan peserta antarabangsa telah melebihi jangkaan iaitu melibatkan seramai lebih 800 orang manakala peserta tempatan pula  mencapai lebih 300 orang.

Dalam pada itu, jelas beliau,  persidangan ini penting kerana kecanggihan jenayah rasuah ketika ini memerlukan kepakaran pencegahan secara bersepadu bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, beliau yakin perbincangan antara pakar-pakar antarabangsa dan tempatan di persidangan ini nanti bakal menghasilkan rumusan terbaik bagi menangani isu-isu rasuah secara global.

Tambah beliau, Malaysia khususnya SPRM harus berasa bangga kerana dipilih untuk  menganjurkan persidangan yang berprestij berkenaan.

Katanya, pemilihan berkenaan adalah berdasarkan kemampuan negara ini dari segi kepakaran, penglibatan SPRM dalam persidangan antarabangsa serta penyediaan fasiliti.