ANTARA
HADIAH DAN RASUAH
Sikap
yang berhati-hati tentang urusan rezeki atau sumber pendapatan dalam kehidupan
ini amatlah dipuji dalam setiap individu. Ini satu tanda adanya nilai kesolehan
dalam jiwa. Malang sekali di zaman kini, ramai yang kurang peduli soal halal
dan haram hasil pendapatan yang diperolehinya. Soalan saudara asasnya mengenai
perbezaan antara hadiah dan rasuah. Persoalan ini dibincang oleh para ulama
sejak dahulu kerana bab ini sering disalahgunakan. Ramai yang mengambil
kesempatan dengan permainan istilah yang seperti ini. Ada yang cuma
menghalalkan rasuah dengan diberi nama hadiah. Saya jawab berdasarkan
noktah-noktah berikut:
1.
Adanya perbezaan antara rasuah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian samada dalam
bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu
yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwitiyyah ditakrifkan
“apa
yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”.
(lihat:, 22/220)
Adapun
hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan
atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah apa
yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa
sebarang balasan”. Ertinya, pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang
dia tidak dapat memperolehinya tanpa sogokan tersebut. Dengan pemberian
tersebut menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya; samada dihilangkan,
atau dikurang, atau dilambat atau aka nada pihak yang dikenakan suatu tindakan
yang tidak adil. Maka, rasuah merupakan pemberian bersyarat, sementara hadiah
bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain.
Rasuah dikeji oleh Islam, sementara hadiah digalakkan.
2.
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka orang yang paling dapat mengesan
sesuatu pemberian itu rasuah atau hadiah ialah pemberi itu sendiri. Hanya dia
yang tahu bagi setiap pemberian yang dihulurkan. Adakah dia mengharapkan
sesuatu pada masa tersebut, atau pada masa hadapan dari pihak yang diberikan,
sedangkan apa yang harapkan itu dia tidak layak memperolehinya sedemikian rupa?
Selepas
itu, pihak yang mengambil juga amat mengetahui bahawa pemberian itu memberikan
kesan kepada urusannya atau tidak. Adakah pemberian tersebut akan menyebabkan
dia terasa untuk akan membalas ‘budi’ pihak berkenaan dengan memberikan
kepadanya apa yang bukan haknya, atau menzalimi hak orang lain?
Sabda
Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya
setiap amalan itu dengan niat” (Riwayat al-Bukhari).
Juga
sabda Nabi s.a.w:
“Kebaikan
itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung
hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu ( ianya
baik)” (Riwayat Ahmad dan al-Darimi dengan sanad yang hasan).
Ertinya,
sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, nmun jiwa
mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. Justeru, jika
pemberi dan penerima mempunyai perasaan takutkan azab Allah, mereka sendiri
dapat memutus apakah nilai pemberian yang diberi atau diterima tersebut.
3.
Ertinya, jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama
sekali dengan jawatan dan kedudukan yang dipegang, maka itu adalah hadiah. Jika
ia diberikan kerana jawatan dan kedudukan yang boleh memutuskan sesuatu hak,
maka itu adalah rasuah. Perkara ini pernah diingatkan oleh Nabi s.a.w mengenai
pegawai atau petugas kerajaan yang mengambil hadiah yang kononnya diberikan
kepada mereka. Sabda Nabi s.a.w:
“Apa
jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini
bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya,
lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia
(pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti
dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).
Maka,
seseorang penguasa atau pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya,
pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya
atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan
mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah. Kesan itu samada
secara langsung atau secara tidak langsung. Jika pemberian itu atas dasar
sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk
penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah. Ini seperti kita memberikan
hadiah kepada sahabat kita sekalipun dia seorang pegawai besar dalam sesuatu
urusan. Namun pemberian itu bukan kerana atau untuk penyalahgunaan kuasa maka
itu dianggap hadiah.
4.
Rasuah boleh muncul dalam berbagai bentuk; samada harta atau manfaat tertentu
yang diberi atau dijanjikan. Juga dengan rasuah hak pihak lain itu boleh
dicemari atau dizalimi dalam pelbagai cara. Ini seperti pemberian itu akan
menyebabkan disegerakan urusan kita, sehingga menyebabkan terlewatnya urusan
pihak lain. Atau jika dalam bentuk persaingan tender seperti zaman sekarang,
pemberian rasuah boleh menafikan hak pihak lain untuk dinilai, atau menghapuskan
persaingan yang adil antara pihak-pihak yang terlibat. Rasuah juga boleh
menzalimi majikan seperti pegawai mengabaikan kualiti kerja disebabkan habuan
yang disuap. Juga rasuah juga boleh menyebabkan ada pihak yang akan dihukum
secara tidak adil. Firman Allah: (maksudnya)
“dan
janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan
jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
5.
Rasuah atas nama hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Lihat sahaja negara
seperti Mesir yang setiap kerja yang sepatutnya berjalan dengan baik
terbengkalai kerana setiap urusan akan menuntut wang saguhati atau tips.
Bermula dari driver bas di Airport Kaherah sehinggalah ke pihak-pihak yang
lebih atas. Apabila keadaan ini berlaku orang miskin susah hendak berurusan
kerana mereka tidak mampu memberikan ‘hadiah’ kepada pegawai-pegawai yang
bertugas. Kualiti kerja menjadi rosak. Perasaan tanggungjawab terhadap tugas
diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka
rasuah merangkumi kesalahan berbohong dan khianat.
6.
Adapun pemberian untuk mengelakkan kezaliman seperti memberikan suapan kepada
sesuatu pihak bagi melepaskan diri dari kezaliman atau memperolehi hak yang
sepatutnya. Ini seperti merasuah petugas kepada penguasa yang zalim demi
melepas sesuatu kezaliman kepada diri sendiri atau pihak tertentu, atau
mengembalikan sesuatu hak yang diambil dengan cara yang zalim, maka Dr.
Al-Qaradawi berpendapat bahawa jika keadaan seperti itu berlaku, seseorang
hendaklah berusaha dengan cara yang tidak merasuah sesiapa. Namun jika tiada
jalan dan terpaksa, maka dosa tersebut ditanggung oleh pihak yang mengambilnya,
tidak atas pihak yang memberikan suapan tersebut (lihat: al-Halal wa al-Haram
fi al-Islam, m.s 300, Beirut: al-Maktab al-Islami).
7.
Perbuatan rasuah adalah dosa yang besar. Sabda Nabi s.a.w:
“Allah
melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah,
dinilai sahih oleh al-Albani).
Apa
tidaknya, rasuah boleh meruntuh keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah
masyarakat. Kata Saidina Ali bin Abi Talib:
“Sesungguhnya
binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya
dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih,
Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).
8.
Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan oleh Islam. Sabda Nabi s.a.w:
“Berilah
hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab
al-Mufrad).
Ya,
hadiah yang jujur kepada sahabat atau bakal pasangan hidup akan menimbul
kenangan dan ingatan. Kasih-sayang tanpa kepentingan itu amat tinggi nilainya
dalam kehidupan insan. Hadiah satu jalan mengeratkan hubungan antara kita atas
kejujuran dan keikhlasan jiwa.
DR.
MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Ph.D, Islamic
Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIAM

No comments:
Post a Comment