StatCounter

Thursday, 30 July 2015

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM
SPRM NAFI PEGAWAI SPRM TERLIBAT KONSPIRASI JATUHKAN KERAJAAN
 
Merujuk kepada kenyataan dalam blog-blog yang menyatakan bahawa pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam konspirasi  menjatuhkan kerajaan, SPRM ingin menegaskan bahawa segala tohmahan ini adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
 
Tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai kanan SPRM adalah jelas bagi menjalankan tugas mereka sebagai pegawai SPRM, dan telah mendapat arahan dan dalam pengetahuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
 
Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.
 
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.
 
SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa SPRM tidak terlibat dalam siasatan kes 1MDB sebaliknya  hanyamenyiasat kes SRC International Sdn Bhd. Ini adalah keputusan yang telah dicapai oleh Pasukan Petugas Khas, yang dianggotai oleh ketua Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan SPRM, yang menerima panduan dan nasihat perundangan daripada Tan Sri Abdul Gani Patail yang ketika itu Peguam Negara.
 
Dalam kes SRC International Sdn Bhd, sama ada dengan atau tanpa Pasukan Petugas Khas, setelah ketiadaan Tan Sri Abdul Gani, SPRM memberi jaminan bahawa siasatan ke atas SRC International akan diteruskan sehingga siasatan lengkap sepenuhnya sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan.
 
Bagi melengkapkan siasatan SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.
 
SPRM memohon kepada orang ramai agar memberi ruang kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
30 JULAI 2015

PROMOSI MALAYSIA HAB LATIHAN ANTIRASUAH

KEMUNGKINAN besar tulisan ini karya saya yang terakhir sebelum berundur dari per­khidmatan awam selepas berkhidmat lebih tiga dekad (bersama Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau singkatannya SPRM). Saya akan bercuti sempena persaraan mulai awal Ogos ini.

Akhir tahun lalu, saya berpeluang ke Bhutan untuk mengambil bahagian dalam program kerjasama latihan agensi penguat kuasa negara itu dan SPRM. Bhutan memperlihatkan kebanggaan pihak­nya kerana berpeluang berkongsi penga­laman dengan Malaysia.

Negara Asia Selatan yang terletak di hujung pergunungan Himalaya itu sebenarnya berada dalam keduduk­an lebih tinggi dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding Malaysia.

Saya pun hairan. Negara yang tinggi ranking dalam CPI, tetapi berminat mempelajari pengalam­an Malaysia dari segi pembinaan kapasiti dan keupayaan mencegah rasuah.

Sepatutnya kita belajar daripada mereka. Bukan sebaliknya.

Ketika itu, jawapan yang diberikan pemimpin Bhutan: Mereka gembira kerana Malaysia jujur dan ikhlas dalam berkongsi ilmu dan pengalaman dengan negara itu.

Perkara sama ditekankan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan, Zeten Zangmo ketika berada di Putrajaya sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan SPRM pada 11 Mac lalu.

“Bhutan memilih Malaysia kerana negara ini mengamalkan keterbukaan dan komited dalam perkongsian pengalaman. Malaysia (dan SPRM) mempunyai pengalaman yang luas dalam membendung jenayah rasuah di peringkat antarabangsa serta rantau Asia. Malaysia juga telah mengintegrasikan dan menginstitusikan pendekatan antirasuah yang telah dijadikan contoh di peringkat dunia,” kata Zeten.

Saya terharu dengan kata-kata ini. Bagi saya dan SPRM, ini satu penghargaan dan penghormatan buat Malaysia. Sumbangan Malaysia diiktiraf oleh pihak luar. Perakuan ini harus menjadi satu kebanggaan buat rakyat Malaysia sementara kita be­kerja keras untuk memerangi rasuah.

Di SPRM, peranan melatih pegawai terletak di bahu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang tahun ini berusia satu dekad.

MACA menyediakan latihan se­cara konsisten kepada pe­gawai-pegawai Suruhanjaya Pe­ncegahan Rasuah Bhutan sejak 2011 berkaitan siasatan dan perisikan. Pada 2013, MACA mendapat pengiktirafan Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC). Dalam laporan penilaian berkenaan pematuhan Malaysia, khususnya SPRM ke atas Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC), UNODC mengiktiraf peranan MACA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.

MACA mengambil pelbagai pendekatan untuk menjadi pusat serantau bagi usaha-usaha memerangi dan mencegah rasuah.

Pelbagai institusi dan pertubuh­an antarabangsa menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menyediakan tenaga pengajar, pakar untuk merangka dan mengendalikan kursus, latihan, seminar dan bengkel setiap tahun, terutamanya di rantau Asia Pasifik dalam pembanterasan jenayah rasuah. Ini boleh dilaksanakan melalui hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan agensi-agensi penguat kuasa serantau seperti ICAC Hong Kong, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Badan Pencegah Rasuah Brunei Darussalam, Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Korea Selatan, Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand.

Dengan adanya pelbagai program yang dirancang, diharapkan MACA akan muncul sebagai pusat pembe­lajaran dan latihan terpenting di rantau Asia. Penubuhan MACA ini juga adalah sebagai tanggungjawab untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM, melalui penyediaan kursus dalam perkhidmatan untuk modul penyiasatan, pendakwaan, perisikan, pendidikan masyarakat, pemeriksaan dan perundingan, tatacara kerja, peng­urusan dan kewangan, keselamat­an, kepimpinan, latihan kejurulatihan, teknologi maklumat serta pengajian bahasa terutama bahasa Inggeris.

Visi MACA menjadi pusat kecemerlangan pencegahan rasuah bertaraf serantau dan antarabangsa. Kumpulan sasarannya pegawai SPRM, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, dan peserta dari negara.

Sejak penubuhannya MACA berusaha gigih memberikan latihan berkaitan penguatkuasaan antirasuah yang signifikan dan efektif di peringkat nasional dan global. Kejayaan MACA meng­anjurkan pelbagai program latihan melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi antarabangsa membuatkannya semakin diiktiraf sebagai peneraju pusat latihan antirasuah yang mapan.

Demi mencapai objektif membanteras jenayah rasuah, MACA, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa dan Interpol telah berganding bahu menganjurkan seminar-seminar teknikal di Malaysia.

MACA ditubuhkan sebelum SPRM lahir sebagai sebuah suruhanjaya bebas pada 2009. Susulan kewujudan SPRM dan selari dengan program transformasi, peranan MACA bertambah giat dan luas. Tanggungjawab akademi meningkat bagi membolehkan SPRM memiliki barisan modal insan yang mahir dan berpengetahuan luas.

Dalam hal ini, Pusat Latihan Asas (PLA) bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan program latihan untuk pembangunan kerjaya pegawai dan kakitangan sokongan dengan tumpuan utamanya menjalankan kursus asas kepada pegawai-pegawai lantikan baru SPRM. PLA adalah nadi kepada SPRM untuk me­latih pegawai-pegawai baru.

Di sebalik peranan itu, dalam era globalisasi, usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan menjadi semakin rumit. Kemajuan teknologi, kepesatan pembangunan, nilai kemanusiaan yang terhakis antara cabaran yang menyukarkan lagi inisiatif pencegah­an jenayah rasuah.

Justeru SPRM menjadi tonggak penting dalam membantu memperkasa integriti yang dizahirkan melalui peranan latihan yang dimainkan Pusat Pembangunan Integriti Korporat, MACA.

Penyertaan pegawai penguat kuasa dari luar negara dalam Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), kendalian SPRM menyaksikan peningkatan, sekali gus mening­katkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas mekanisme kawalan dalaman. Pening­katan itu ada kaitan dengan impak dan kesan positif yang disumbangkan oleh Program CeIO kepada agensi swasta dan awam.

Ketika Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) Ke-10 di ibu negara awal Disember 2014, SPRM telah menawarkan untuk menjadikan MACA sebagai hab latihan serantau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti pencegahan rasuah.

Putrajaya menjadi lokasi Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 pada September ini. Diharap pengalaman dan kejayaan seperti ini akan dikongsi, bukan sahaja bagi manfaat Malaysia, bahkan demi masyarakat antarabangsa.

Berdasarkan pengalaman peribadi saya sebagai pegawai antirasuah selama lebih tiga dekad, Malaysia mempunyai amalan baik dan kejayaan untuk dikongsi bersama negara lain. Begitulah sebaliknya.

 
 
 
 
Dato’ Sri Hj. Zakaria Hj. Jaafar
Timbalan Ketua Pesuruhjaya
(Pengurusan dan Profesionalisme)
SPRM

 
 
 

Wednesday, 29 July 2015

KENYATAAN MEDIA RASMI BADAN BEBAS SPRM
(dikeluarkan bersama oleh lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM)
 
1MDB:  PANEL BEBAS SPRM MAHU SIASATAN BEBAS TANPA CAMPUR TANGAN MANA-MANA PIHAK
 
 
Lima panel bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dijalankan dengan bebas, telus dan profesional serta berkesan tanpa sebarang campur tangan apa pun daripada mana-mana pihak ketiga atau dikenakan apa-apa bentuk tekanan ke atas agensi-agensi penyiasat yang menganggotai Pasukan Petugas Khas.
 
Pasukan Petugas Khas yang terdiri Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM mesti diberi ruang seluas-luasnya untuk menjalankan siasatan tanpa rasa gentar dan takut akibat campur tangan pihak-pihak berkepentingan.
 
Dalam hal ini, kami dengan tegas menggesa agar integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali. SPRM perlu dilihat sebagai sebuah Suruhanjaya yang bebas dalam merancang dan menjalankan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.
 
Kelima-lima panel bebas ini sebulat suara mahu siasatan yang menyeluruh dikendalikan dan hasilnya diumumkan kepada khalayak ramai secepat yang mungkin.
 
Ini perlu bagi mengurangkan jurang persepsi serta keyakinan yang kini kian melebar.
 
Pengerusi kelima-lima panel bebas ini terdiri daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot  (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah).
 
Kelima-lima panel bebas juga menggesa pihak Peguam Negara, yang memberi panduan dan nasihat perundangan kepada Pasukan Petugas Khas, perlu memaklumkan dengan jelas perkembangan siasatan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap SPRM dan agensi-agensi penyiasat yang lain dalam Pasukan Petugas Khas. Tindakan ini penting memandangkan SPRM hanya memberi tumpuan ke atas kes berkaitan SRC International, yang sebelum ini subsidiari 1MDB, manakala isu 1MDB disiasat oleh agensi penyiasat yang lain.
 
Kelima-lima panel bebas ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa SPRM akan lebih mudah dan cepat menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional jika tidak wujud sebarang tekanan dan campur tangan mana-mana pihak.
 
Pada akhir siasatan, jika terkesan sebarang bentuk kesalahan di bawah lunas perundangan, maka agensi-agensi terbabit perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut kuasa masing-masing, termasuk SPRM di bawah Akta SPRM 2009.
 
Selain itu, penting bagi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan hasil penemuan semua siasatan termasuk laporan Jabatan Audit Negara mengenai isu 1MDB  kepada umum secepat yang mungkin. Ini bagi mengembalikan semula pandangan keseriusan dalam menyiasat isu IMDB sekian lama, terutamanya,  memandangkan imej negara sudah tercemar dan juga keyakinan rakyat ke atas  keberkesanan usaha SPRM sudah mula dipersoalkan.
 
Oleh itu, mengambil kira perkembangan semasa dalam negara, kelima-lima panel bebas yang mewakili suara rakyat ingin menegaskan bahawa perlu ada satu penyelesaian kepada isu ini secepat yang mungkin.
 
 
 
Dikeluarkan bersama oleh lima panel bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, iaitu:
 
JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH
LEMBAGA PENASIHAT PENCEGAHAN RASUAH
PANEL PENILAIAN OPERASI
JAWATANKUASA ADUAN
PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH
29 Julai 2015

Monday, 27 July 2015


PERSIDANGAN ANTI RASUAH ANTARABANGSA (IACC) KE-16  
BUKA MATA DUNIA TERHADAP MALAYSIA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di Putrajaya, pada awal September ini. Persidangan pencegahan rasuah yang terbesar di dunia itu dijangka disertai pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari seluruh dunia yang akan berkongsi mengenai kemajuan dan cabaran dalam usaha memerangi rasuah.

Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 yang julungkalinya diadakan di Malaysia akan menyediakan platform holistik kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kali ini kerana Malaysia dilihat sebagai negara yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha memerangi rasuah di rantau Asia Ini juga adalah satu penghormatan apabila Malaysia dan SPRM dipilih sebagai tuan rumah IACC Ke-16.

Sunday, 26 July 2015

OPS SEJUK PELBAGAI PIHAK PUJI TINDAKAN SPRM

Selepas enam bulan melakukan intipan, SPRM menerusi Ops Sejuk telah menggempur Cameron Highlands dan menahan 21 pengusaha  ladang  sayur kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.  Sogokan itu bertujuan mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.
Melalui tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Penduduk Cameron Higlands menyatakan sokongan yang penuh terhadap tindakan SPRM menahan tauke ladang yang dipercayai memberikan rasuah, bahkan melibatkan juga pihak yang menerima suapan.

Cheng Nam Hong, 43, penduduk di Lembah Bertam berkata, tindakan lebih profesional itu diperlukan bagi menangani masalah di Cameron Highlands yang bertambah buruk sejak 2008.
“Kita amat menyokong tindakan SPRM yang menahan tauke ladang yang dipercayai memberikan rasuah seperti yang tersiar di akhbar kerana setiap kesalahan perlu diambil tindakan.
“Apatah lagi penduduk di sini juga cuba mengelak daripada bercakap mengenainya kerana wujud tekanan politik supaya perkara ini tidak dijadikan sebagai satu isu,” katanya.
Selepas enam bulan mela­kukan intipan, SPRM kelmarin menggempur Cameron Highlands dan menahan 19 tauke ladang kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Sogokan itu bertujuan mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.

Mohd. Faizal Idris, 47, seorang lagi penduduk Cameron Highlands, menyifatkan langkah yang diambil oleh SPRM itu adalah tepat bagi ‘mengajar’ mereka yang degil khususnya dalam hal membabitkan pencerobohan tanah.
Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya diambil berdasarkan realiti di kawasan tanah tinggi ini ekoran penguasaan pasaran oleh tauke-tauke besar.
“Kalau boleh, tindakan penguatkuasaan seperti ini bukan sahaja diteruskan di Cameron Highlands tetapi di seluruh negara,” katanya.

Mohamad Redzwan Mohamed Nor, 48, pula berkata, beliau amat bersetuju dengan ketegasan SPRM yang tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan kali ini.
“Saya rasa perkara ini sudah lama berlaku tapi selama ini, kita ambil sambil lewa. Jadi, kita mahukan perubahan dan musnahkan segala amalan rasuah sepenuhnya.
“Apabila isu ini melibatkan ta­nah, seme­mang­nya orang akan menyangka wujud rasuah di situ,” katanya.

Faizal Che Abdullah, 42, tindakan penguatkuasaan mesti dijalankan secara konsisten bagi membendung penularan kepada permasalahan yang lebih besar.
“Kita tidak mahu orang menganggap pegawai penguat kuasa di negara ini hanya menjalankan tugas secara bermusim,” katanya.

Sementara itu, Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, susulan tindakan tegas SPRM tesebut Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mencadangkan sebuah agensi atau organisasi khusus ditubuhkan bagi menangani isu tersebut.
“Agensi ini perlu ditempatkan di kawasan tanah tinggi tersebut supaya boleh bergerak secara bersepadu dan akan berkongsi maklumat dengan agensi penguatkuasaan lain mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Selain melakukan pemantauan secara berkala, agensi itu juga perlu terbuka supaya dapat menerima segala maklumat yang disalurkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Penubuhan agensi itu juga sekali gus mampu menghentikan kebergantungan terhadap ahli politik tertentu dalam menyelesaikan isu pencerobohan tanah di Cameron Highlands.
“Kerajaan juga harus mempergiatkan aktiviti penanaman semula pokok dan tumbuhan lain seperti yang pernah dilakukan sebelum ini dalam usaha memulihara kawasan tersebut,” tambahnya.
Beliau turut memuji tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya menahan 21 tauke ladang di Cameron Highlands kerana disyaki memberi wang suapan kepada pegawai penguat kuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands menyatakan sokongan peuh terhadap tindakan penguat kuasa SPRM dalam memerangi rasuah di Cameron Higlands.
“Kita mengalu-alukan tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani isu rasuah yang menjadi barah di Cameron Highlands.

‘’Jika ada pegawai kerajaan didapati menerima rasuah, mereka tidak akan terkecuali (daripada penguatkuasaan) dan SPRM mempunyai kuasa penuh untuk me­nguatkuasakan undang-undang,” katanya.

1MDB: 
Seorang lagi Datuk direman

PUTRAJAYA 25 Julai – Seorang lagi pengarah bergelar Datuk direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah syarikat pembangunan hartanah berumur 48 tahun itu merupakan individu keempat yang ditahan reman berhubung siasatan kes melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Difahamkan suspek berkhidmat dengan syarikat sama dengan seorang lagi pengarah yang pernah ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.

Penahanan terbaharu itu menjadikan sebanyak tiga pengarah syarikat dan seorang pemilik tunggal syarikat ditahan setakat ini. Dua daripadanya bagaimanapun telah dibebaskan.

Suspek terbaharu itu telah dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7 malam semalam untuk soal siasat sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini untuk tujuan tahanan reman.
Penahanan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan SRC International Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang sedang disiasat bersama Ihsan Perdana Sdn. Bhd. dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. berhubung isu 1MDB.

Dalam pada itu, seorang pengarah syarikat berlainan yang merupakan individu kedua ditahan dalam kes berkaitan 1MDB telah dibebaskan hari ini selepas ditahan reman selama empat hari sejak Rabu lalu.

Pengarah berumur 54 tahun yang juga bergelar Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/1mdb-8232-seorang-lagi-datuk-direman-1.117004#sthash.tMbdHyv2.xVYmo1dC.dpuf

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

 
Pengkhianatan?
Satu demi satu fakta muncul yang menjelaskan lagi hakikat bahawa wujud konspirasi mahu menggulingkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak di luar proses demokrasi. 

Beberapa pengakuan bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo tentang dokumen 1MDB yang diubah suai dan ditawarkan AS$2 juta bagi curi data oleh taikun dan pemilik akhbar The Edge, Tong Kooi Ong - mengejutkan.

Malah ada lagi. Terdapat pengakuan individu yang bertemu Justo mahu menggunakan dokumen yang diubah suai bagi menjatuhkan kerajaan. Ia turut terdedah menerusi wawancara akhbar The Straits Times Singapura selain hasil daripada siasatan awal pihak berkuasa Thailand ekoran penahanan Justo.

Banyak perkembangan dalam tempoh dua minggu ini termasuk pengakuan bekas Editor Sarawak Report (SR) Lester Melanyi yang mempunyai bukti apa yang ditulis oleh pengasas SR, Claire Rewcastle Brown adalah rekaan semata-mata.
Kini reputasi Brown dan Kooi Ong semakin buruk. Kedua-dua pihak cuba nafi tetapi bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Sebelum ini, Kooi Ong pernah menggemparkan negara atas dakwaan cuba mensabotaj ekonomi Malaysia.

Brown pula sudah tidak asing dengan melakukan serangan peribadi ke atas Abdul Taib Mahmud bagi menjatuhkan kerajaan negeri Sarawak dengan kerjasama parti pembangkang tertentu. Biarpun gagal selepas tidak disokong oleh rakyat Sarawak, sasarannya bertukar kepada Najib.

Selain Kooi Ong dan editor The Edge, Ho Kay Tat, pemimpin DAP, Tony Pua juga terpalit kerana ada bukti beliau menemui Brown di luar negara berkaitan dokumen 1MDB.

Pada Awang semuanya berbaur - konspirasi, jenayah pengubahan wang haram dan pengkhianatan. Jika tidak disebabkan konspirasi ini terbongkar lebih awal, negara pasti sudah menerima padahnya. Bayangkan berapa ramai sudah tertipu dan mudaratnya kepada kestabilan dan ekonomi Malaysia. Maka jelaslah bahawa kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa polis tidak menolak wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri - adalah benar. Yang kabur dan kelam makin terang. Skandal Justogate (ekoran pengakuan Justo) ini menuntut siasatan dan tindakan pihak berkuasa. Di China, pengkhianatan seperti ini pasti dikenakan hukuman paling berat. Dalam konteks konspirasi menjatuhkan kerajaan dan Najib, Awang lihat cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu kerana konspirator tidak akan berdiam dan menyerah begitu sahaja.

Tony Pua, PAC
Dengan perkembangan terbaharu termasuk pengakuan pemimpin DAP, Tony Pua menemui Clare Rewcaste Brown berhubung dokumen 1MDB, apakah beliau layak duduk dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjalankan siasatan ke atas syarikat pelaburan tersebut?

Dengan kata lain, dakwaan pembabitan beliau dilihat serius. Sepatutnya Tony Pua dengan rela hati atas nama integriti dan demi menjaga reputasi PAC, perlu berundur.

Malah DAP sewajarnya mengambil pendirian yang budiman mengarahkan Tony Pua mengecualikan diri bagi mengelakkan cacat cela kepada PAC. Orang yang sudah tercemar nama dan mencetuskan keraguan besar serta mempunyai motif tertentu tidak layak terlibat soal siasat PAC. Beliau adalah wakil DAP dalam jawatankuasa itu. Tolong jangan bagi malu parti itu seolah-olah tidak faham definisi integriti. Dalam pada itu, masyarakat masih menunggu kenyataan rasmi penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Apakah DAP terbabit dalam gerakan menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi melalui kerjasama dengan individu dan media asing? Awang sekadar bertanya.

Musang berbulu...
Penubuhan parti politik baharu biasanya mendapat sambutan tetapi berlainan dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang menerima gelombang negatif daripada umat Islam dan orang Melayu.

GHB adalah parti serpihan yang digerakkan oleh sekumpulan pemimpin Pas yang kecewa selepas tewas pada pemilihan parti itu dan tidak mahu menerima hakikat akar umbi menolak mereka.

Ramai melihat GHB yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai pro DAP selain PKR. Pada Awang, lebih daripada itu, ia tidak ubah sayap Melayu dalam DAP.

Tahniah kepada DAP kerana berjaya memecahkan perpaduan Pas. Namun mujur kepimpinan Pas bertindak pantas menangani isu itu sebelum anasir DAP meresap lebih jauh ke dalam memusnahkan parti tersebut sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh PKR.

Awang percaya GHB yang akan menyertai pakatan baharu pembangkang bersama DAP dan PKR akan dikhianati dan dikecewakan akhirnya. Hubungan DAP dan Parti Semangat 46 terkubur dan terbaharu Pas jadi mangsa.

Bukan itu sahaja, sudah puluhan pemimpin Melayu dalam DAP meninggalkan parti itu dengan penyesalan. Bagi menjayakan agendanya, pemimpin DAP sanggup lakukan apa sahaja - bersongkok, masuk surau, menangis dan merayu. Tetapi apabila impian tercapai, etnik lain terutama Melayu tiada nilai lalu disisih dan dibiar lemah. Agenda agungnya hanya untuk satu kaum. Betul kata Presiden Pas, Hadi Awang tentang bahaya parti cauvinis seperti DAP. Pengalaman Pas membuktikan.

Awang sudah lama berwaspada dengan musang berbulu ayam.


Tahniah SPRM, MKN
Antara kes mahkamah yang begitu signifikan minggu ini ialah hukuman denda RM50,000 terhadap seorang petani, Pang Lian Por, 47, kerana didapati bersalah melakukan aktiviti pertanian tanpa kebenaran di Cameron Highlands.
Ia merupakan kes pertama pencerobohan di kawasan peranginan itu yang dijatuhi hukuman. Bukan itu sahaja, jumlah denda tersebut adalah maksimum memandangkan implikasi perbuatan tertuduh terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Berikutan pendedahan beberapa siri laporan Utusan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 individu. Isu penerokaan haram dan pemerkosaan alam sekitar di Cameron Highlands menggemparkan negara apabila mencetuskan bantahan orang ramai dan aktivis alam sekitar, memaksa campur tangan kerajaan dan agensi-agensi berkenaan.

Persoalannya kini siapa lagi akan didakwa? Apakah penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa turut dikenakan tindakan? Apa pun, Awang bersyukur kerana kebenaran akhirnya terzahir. Tindakan tegas SPRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuktikan bahawa gejala tersebut adalah benar-benar berlaku dan serius. Ia juga dengan sendirinya menolak sindrom penafian oleh pemimpin tertentu, yang enggan menerap prinsip akauntabiliti. Maka Awang ingin ucapkan tahniah sambil bersyukur kerana SPRM dan MKN meletakkan kepentingan negara, awam dan alam sekitar jauh lebih tinggi biar apa pun cabarannya. Bayangkan, tanpa ketegasan tersebut, Cameron Highlands tidak mampu diselamatkan. Malah permasalahannya akan lebih parah, yang terus menjadi cerita duka buat rakyat dan negara.

YNWA
Minggu ini, Malaysia dilanda demam Liverpool sempena kunjungan pasukan itu ke negara ini. Kemuncaknya kelmarin, apabila berlangsungnya perlawanan persahabatan yang mencuri perhatian peminat sukan terutama penyokong Liverpool. Tahniah kepada pilihan Malaysia kerana prestasi yang tidak mengecewakan.

Pada Awang, ia bukan semata-mata soal kemampuan skuad negara di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh mengekang Liverpool dengan keputusan seri 1-1. Lebih daripada itu ialah pengaruh Liverpool di negara ini, ternyata terus subur. Biarpun prestasi pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) merudum pada musim lalu, para peminat tidak kisah. Stadium Bukit Jalil dibanjiri para peminat sebagaimana sambutan hangat pada perlawanan persahabatan 2011. Kempen untuk memboikot perlawanan itu oleh pihak tertentu yang marahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga bukan penghalang. Ternyata kesetiaan peminat kepada pasukan atau kelab tetap teguh, termasuklah Liverpool. Lebih-lebih lagi pasukan berkenaan mempunyai tradisi kecemerlangan bola sepak yang disegani.

Paling menarik ia mempunyai slogan yang Awang anggap hebat, You'll Never Walk Alone (YNWA). Jatuh, bangun, menang atau kalah, anda tidak bersendirian. Juga biarpun tanpa legenda atau tonggak seperti Steven Gerrard. Semangat kekitaan dan kebersamaan adalah tinggi. Pasukan lain juga ada budaya sebegitu tetapi tidak mampu menyaingi Liverpool. Mengapa? ...YNWA sentiasa menyala di hati.

Terima kasih Dr.
Doktor pakar biasanya tidak selesa diberi pujian dan penghargaan menerusi media, bimbang boleh disalah ertikan.
Tapi Awang tetap mahu merakamkan terima kasih kepada kardiologis Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Emily Tan Lay Koon.

Ini berdasarkan maklum balas beberapa kenalan dan pesakit yang menerima rawatan serta kaunseling daripada beliau. Sikapnya yang menghormati pesakit, sabar melayani kerenah terutama warga emas, khidmat yang memuaskan dan penerangan yang mudah difahami antara komen ramai terhadap Dr. Emily.

Dalam pada sebahagian kita mudah merungut dan komplen terhadap khidmat doktor dan petugas hospital yang tidak memuaskan maka apabila mendapat layanan yang baik, ia terasa istimewa.
Inilah yang Awang mahu zahirkan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/analisis-mingguan-bisik-bisik-awang-selamat-1.116987#sthash.2AeaCzoE.dpuf

Bocor maklumat: Integriti atau petualang


Isu mendedah atau membocorkan maklumat bukan perkara baharu dalam dunia politik. Ia dianggap sebagai sebahagian daripada lumrah dan tindakan tidak bertanggungjawab dalam menjatuhkan seseorang individu. Sama ada individu dalam sektor politik, korporat atau kehidupan seharian orang biasa. Kejadian demi kejadian telah membuktikan tindakan membocor maklumat tidak berasas mengakibatkan kejatuhan seseorang dalam tangga kerja masing-masing, tidak kira jurusan. Begitu juga kemusnahan sesebuah negara.

Lipatan sejarah membuktikan kebenaran isu ini. Pada hari ini, ketika setiap detik menjadi semakin kompleks, isu ini menjadi satu perkara yang serius.

Sekadar untuk berkongsi beberapa kejadian yang masih dekat dengan kita, yang berlaku di negara ini pada tahun lalu, menunjukkan bahawa terdapat maklumat yang dibocorkan oleh pihak-pihak yang tidak gembira dengan kerajaan dan pemimpin tertentu. Bermakna kepentingan ideologi politik dan kepentingan diri mengatasi kepentingan negara. Golongan ini sanggup mengetepikan akujanji dan ikrar taat setia yang dilafazkan.

Pada April tahun lalu, laporan media memetik beberapa Ahli Parlimen membocorkan dokumen tidak sah berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara juga berhadapan dengan isu kebocoran soalan peperiksaan. Ia berulang lagi ketika musim peperiksaan sekolah pada September lalu.

Kedua-dua isu ini kelihatan kecil dan berjaya ditangani. Bagaimanapun, di sebalik amaran dan ketegasan seumpama itu, negara sedang berhadapan dengan satu isu kebocoran maklumat yang teramat serius. Tidak lain tidak bukan, ia bersangkut paut dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) - isu getir yang kita sedang lalui. Kita tidak pernah melihat, mendengar atau melalui isu yang paling getir seperti ini.

Yang menghairankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadikan sasaran utama serangan bertubi-tubi oleh pembangkang dan mantan utama pemimpin negara sehinggakan maruah beliau selaku pemimpin nombor satu negara tercalar, walhal beliau telah berkali-kali mengatakan beliau tidak langsung terlibat dengan sebarang urusan traksaksi IMDB. Adakah pihak pembangkang cemburu melihat kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN dihormati oleh masyarakat antarabangsa atau pembangkang ingin mewujudkan satu persepsi negatif antarabangsa sehinggakan ekonomi dan matawang Malaysia terjejas?


Jenayah fitnah
Kebocoran maklumat, sama ada maklumat itu dipalsukan atau sebaliknya, boleh menyebabkan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Seksyen 133, 248, 249 dan 250), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Seksyen 145), Akta Rahsia Rasmi 1972 (Seksyen 3, 4, 7A, 7B, 8, 11 dan 14), Kanun Keseksaan melibatkan seksyen di bawah Bab XL untuk keterangan palsu dan direka-reka serta jenayah fitnah pada Seksyen 499 hingga 502.

Selain keselamatan, ia juga boleh menjadi sabotaj ekonomi terhadap Malaysia. Tindakan juga boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502 kerana kesalahan fitnah jenayah dan pemalsuan dokumen untuk tujuan mensabotaj ekonomi negara. Sesiapa yang didapati bersalah membocorkan atau memalsukan dokumen berkenaan akan berhadapan dengan kuasa penuh undang-undang. Siasatan pihak berkuasa adalah untuk mengenal pasti mereka yang membocorkan bahan itu, dan menentukan sama ada dokumen itu asli atau dipalsukan.

Individu-individu terbabit dikatakan mempunyai niat mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat usaha anasir-anasir luar yang mahu mengganggu-gugat kestabilan negara.
Seperti diketahui, isunya bukan persoalan whistle-blowing atau memberi maklumat kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan. Kini masa untuk pihak berkuasa bertindak tegas bagi melindungi maklumat rahsia kerajaan. Saya berpandangan bahawa agensi-agensi kerajaan masih belum memberi keutamaan yang tinggi dalam soal ini.

Berdasarkan kepada perkembangan sejak Pilihan Raya Umum 2008, senario politik negara menunjukkan bahawa sudah ada keperluan untuk melihat semua undang-undang bagi mengadakan peruntukan yang lebih ketat lagi jelas mengikut kemajuan teknologi maklumat.

Pihak berkuasa tiada pilihan kecuali mempergiatkan usaha bagi memastikan tidak lagi berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan. Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dipecat, bergantung kepada rahsia yang dibocorkan.
Usaha perlu dipertingkatkan bagi mengawal budaya membocorkan maklumat daripada terus berleluasa di negara. Pengalaman dan sejarah termasuk kejatuhan Kesultanan Melaka menunjukkan bahawa ia bertolak daripada perbuatan membocorkan dan menjual maklumat kepada pihak ketiga. Banyak empayar jatuh kerana tindakan tidak beramanah.
Kita sering terlupa daripada menjadikan sejarah sebagai peringatan atau tanda aras daripada mengulangi perkara yang sama.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dunia hari ini, information is power, tetapi maklumat tidak betul, tidak tepat dan yang sengara direka, is more harmful di mana boleh menghancurkan negara, melumpuhkan ekonomi dan merosakkan kestabilan politik dan mencemari nama dan reputasi. Akhirnya, yang akan berhadapan dengan kesan buruk adalah rakyat.
Maka, setiap individu diberi amanah menjaga rahsia dan maklumat negara, perlu mengutamakan integriti. Individu yang didefinisikan ini bukan sahaja merujuk kepada penjawat awam, tetapi juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta. Bukan sahaja mereka dalam negara, tetapi pihak yang berurusan dengan pihak luar dan negara lain.

Meskipun disyorkan agar meneliti semula aspek perundangan semasa, ia tidak akan membawa kita jauh ke hadapan, jika kita gagal menyempurnakan amanah yang dipikul. Sudah tiba masa, demi manfaat jangka panjang, sementara pihak berkuasa mengambil tindakan dalam isu semasa 1MDB ini, strategi perlu disusun untuk mendidik kepentingan menjaga kepentingan negara dengan memastikan rahsia - milik individu, organisasi atau negara - tidak dibocorkan kepada pihak ketiga.

Kesan buruk pihak yang main ‘kayu tiga’ amat buruk dan besar. Integriti adalah sempadan.
Jangan biar integriti dibeli oleh pihak yang mahu menjahanamkan negara. Menjadi perbincangan di kalangan rakyat ketika ini adakah perlu undang-undang seakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pendefinisian baru Undang-Undang SKMM perlu diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengekang segala bentuk pengkhianatan kepada negara dan menghapuskan segala petualang yang langsung tidak memikirkan soal-soal kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.

Fikir-fikirkanlah.

-PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Menangani Rasuah SPRM merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.
-See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bocor-maklumat-integriti-atau-petualang-1.116979#sthash.TAG8Lm7v.dpuf