StatCounter

Monday, 11 September 2017

Bertindaklah SPRM demi Alam Sekitar yang telah digadai


Meskipun dengan kesibukan jadual harian, adalah perlu untuk kita meluangkan sedikit masa berfikir dan bertanya apa yang patut dilakukan untuk menangani pelbagai ancaman alam sekitar yang dihadapi di bumi ini.

Hakikatnya, manusia sendiri telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Malangnya, perlakuan itu jarang-jarang sekali direnungkan bersama.

Manusia telah mencapai kedudukan yang aneh di mana walaupun ramai orang dari pelosok bumi keluar untuk melindungi alam sekitar namun masalah ini masih tidak dapat ditangani.

Kita telah banyak mengalami banjir kilat dan tanah runtuh dan pengajaran dari bencana lepas ini masih belum dipelajari dan diserap.

Sebagai pemegang amanah kepada sumber planet dan kepelbagaian geobiologi, kita perlu menggunakan sumber asli kita dengan cara yang betul dengan memastikan pemuliharaannya. Sebagai pemegang amanah, ia akan memaksa kita untuk mengekang tindakan kita dengan kesederhanaan dan keseimbangan.

Bahkan isu pencemaran semakin menjadi-jadi di negara ini dan dilihat tiada kesudahannya sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif termasuk kemusnahan alam sekitar serta kesihatan umum.

Permasalahan ini menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Jika diteliti, beberapa kes alam sekitar yang didedahkan di akhbar-akhbar seperti semuanya melibatkan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas melakukan siasatan berhubung kes pencemaran alam sekitar membabitkan aktiviti perlombongan bauksit dan pembalakan haram yang berlaku di Malaysia adalah wajar.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pasukan penyiasat SPRM sedang mengumpul serta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku di beberapa buah negeri.

“Jika didapati wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa, kita akan mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai isu alam sekitar yang didedahkan mempunyai kaitan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga dalang yang melakukan pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar terus bermaharajalela tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Malah, individu-individu tidak bertanggungjawab ini akan terus mengambil kesempatan sehingga tidak gentar melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan orang ramai jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Sedarlah sejarah mengajar kita manusia tentang peradaban dan ini akan dimusnahkan jika tidak berdamai dengan alam sekitar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan alam sekitar berhubung dengan peradaban.

Bolehkah sesuatu yang dilakukan untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar?

Lebih menyedihkan, apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi dengan bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Justeru tindak SPRM amatlah tepat. Bersihkanlah agensi-agensi penguat kuasa kita. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu 'menghidangkan' rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka. Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana penulis yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.




Thursday, 7 September 2017

GODAAN DUNIAWI DAN KENYAMANAN KEHIDUPAN HEDONIS


Gejala rasuah ke belakangan ini semakin merimaskan berikutan merebaknya kes rasuah yang membabitkan banyak pihak. Terbaharu kita digemparkan dengan penahanan sepasang suami isteri yang juga pensyarah sebuah Universiti Awam, direman bagi membantu siasatan membabitkan salah guna kuasa dengan nilai kira-kira RM52,000.

Penahanan dibuat selepas pasangan tersebut disyaki menyalahgunakan kuasa sebagai penjawat awam dengan mencadangkan kepada pihak pengurusan fakulti untuk memilih syarikat milik mereka bagi pembelian barang makmal serta perkhidmatan penyelidikan membabitkan nilai RM52,000 antara Mac 2015 dan Jun 2016.

Rasuah datang dalam pelbagai kaedah. Kebiasaannya, orang yang dijadikan sasaran ialah mereka yang mempunyai kedudukan atau ada kuasa membuat keputusan berhubung dengan apa yang diinginkan itu.

Menurut anggaran terbaru, negara dikatakan mengalami kerugian besar jika gejala rasuah tidak dapat dibendung. Benarkah???

Dalam konteks rasuah di Malaysia, paling banyak kita menerima laporan ialah mengenai salah laku penjawat awam.

Penjawat awam berkenaan dilaporkan mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2008 dan ditahan bersama-sama lapan kontraktor, termasuk seorang wanita dari syarikat pengurusan acara yang diberikan kontrak. Kontraktor berkenaan didakwa telah membantu penjawat awam itu memiliki beberapa buah kereta mewah, barangan kemas, beg berjenama, unit amanah dan melancong ke luar negara.

Ingatkah kita dengan peringatan Ketua Setiausaha Negara juga telah memberi bahawa tindakan segera yang boleh diambil ke atas penjawat awam yang melanggar peraturan berdasarkan PERATURAN 43, PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI AWAM (KELAKUAN DAN TATATERTIB) 1993, DAN MENGEMUKAKAN PERAKUAN “PERINTAH TAHAN KERJA.”

Apabila seseorang penjawat awam dikenakan “PERINTAH TAHAN KERJA”, pegawai berkenaan tidak akan menikmati apa-apa lagi kemudahan sebagaimana ketika beliau berkhidmat.

Selama proses itu berjalan, dari siasatan dan keputusan mahkamah dibuat, pegawai berkenaan tidak mem­peroleh apa-apa emolument atau elaun. Sekiranya proses berkenaan mengambil masa bertahun-tahun lamanya, penjawat awam berkenaan akan “MENDERITA” sepanjang tempoh berkenaan. Jika didapati bersalah, hukuman berat akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk dipenjarakan.

Semua orang tahu bahawa bahawa rasuah merupakan perbuatan yang tercela dan melanggar undang-undang sehingga ramai yang membenci rasuah. Namun ramai yang terjebak dengan amalan rasuah kerana mendatangkan keuntungan duniawi secara pantas sehingga ia ‘DIRINDUI’.

Kadang-kadang dalam hati pelaku rasuah muncul perasaan bercampur baur antara benci dan rindu. Dibenci kerana rasuah membahayakan sistem dan kepentingan orang ramai, namun ‘dirindui’ kerana kemampuannya menghasilkan kepentingan material dalam sekelip mata.

Penulis yakin bahawa ‘PERTARUNGAN’ batin mempertaruhkan benci dan rindu seperti itu sentiasa ada di dalam dada para pelaku perasuah.

Namun seringkali godaan duniawi dan kenyamanan kehidupan hedonis menjadikan faktor kebencian kerap dikesampingkan dan kerinduanlah yang didakap sebagai pilihan sehingga yang disebut terakhir inilah yang akan memenangkan pertarungan batin itu.

Kerinduan itu semakin menjadi-jadi dan keinginan untuk melampiaskannya semakin terbuka lebar ketika apabila undang-undang dan penguatkuasaan tidak ditegakkan. Ketelusan dan urustadbir tidak berjalan serta rakyat tidak ada yang mengawal dan menilai perjalanan pentadbiran.

Situasi seperti inilah yang menjadikan gejala rasuah semakin merebak di semua peringkat masyarakat. Jika keadaannya seperti itu, tidak adakah kaedah yang berkesan bagi menghentikan gejala negatif ini?

Sudah tentu pasti ada. Pilihannya kembali ke tangan kita seberapa jauh komitmen dan kesungguhan membanteras rasuah ini sungguh-sungguh dijalankan?

Bak pepatah ‘tidak ada keruh yang tidak akan jernih, tidak ada kusut yang tidak akan selesai’ bila kita mahu menggunakan hati nurani dan akal sihat dalam menghapus rasuah.

‘Kembali ke pangkal jalan’ dan menghidupkan lagi cara hidup yang sederhana.

‘Kembali dan ingat lagi ke ajaran agama’ dan meletakkan ajaran Allah sebagai pegangan dan sumber segala perkara. Kukuhkan lagi keupayaan rakyat sebagai ‘SOCIAL CONTROL’ bagi mengawasi semua pihak yang berpotensi melakukan rasuah.