"Saya tidak akan tunduk
terhadap serangan berbentuk peribadi. Saya tetap bertekad untuk terus memerangi
rasuah."
Itu jawapan Ketua Pesuruhjaya SPRM,
Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ketika mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan
beliau terbabit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.
"Kami tidak akan tunduk
kepada tekanan. Kami akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab kami untuk
memastikan negara ini bebas daripada pihak yang terbabit dengan rasuah dan
penyalahgunaan kuasa.
"Tuduhan yang dilemparkan
ini adalah tindakan yang kotor dan keji, dengan niat untuk merosakkan reputasi
saya dan usaha SPRM dalam memerangi rasuah," katanya ketika diwawancara
TV3, beberapa hari lepas.
Dzulkifli berkata, beliau telah
menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengenai perkara
itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ternyata bukan mudah untuk
membersihkan negara ini daripada anasir rasuah. Ada sahaja cabaran yang
terpaksa dilalui terutama oleh anggota penguat kuasanya.
Terbaharu serangan ke atas Ketua
Pesuruhjaya SPRM. Cara serangan itu dilakukan menunjukkan ia bukan dilakukan
oleh calang-calang orang.
Daripada video dengan dakwaan
cuba memikat isteri orang dan bagaimana sebaran dilakukan, penulis cenderung
percaya gerakan ini dilakukan oleh kumpulan profesional. Mereka terlihat begitu
terlatih menyediakan profil serba lengkap yang bertujuan membunuh karakter
seseorang.
Motifnya jelas, mereka mahu
Dzulkifli keluar daripada agensi itu. Mereka mahu SPRM tunduk kepada kehendak
kumpulan ini. Ugutan seperti ini tidak boleh dibenarkan sama sekali. Kita tidak
boleh lagi berundur ke belakang.
Daripada cakap-cakap di luar yang
penulis dengar, serangan ini ada kaitan dengan aktiviti judi haram.
Kumpulan rangkaian "rasuah
berjemaah" ini juga dikatakan mempunyai kepentingan politik dan mempunyai
‘hubungan’ rapat dengan pengurusan kanan pasukan penguat kuasa.
Benarkah dakwaan ini?







