Memerangi rasuah adalah jihad
Walau apa pun terjadi, Siasatan SPRM
Wajar diteruskan
Segala
tohmahan ini adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Tindakan yang diambil
oleh pegawai-pegawai SPRM dalam siasatan SRC International adalah terang dan
jelas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pegawai SPRM, dan telah mendapat
arahan dan dalam pengetahuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim
Mohamed. Kenyataan Media Rasmi SPRM juga telah dikeluarkan pada 30 Julai 2015
menjelaskan secara terperinci.
Tanggungjawab
SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya
bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan. SPRM adalah suruhanjaya
yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan
profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM
tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan
dalam siasatan yang dijalankan.
Dunia
hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memerangi rasuah dan ternyata
rasuah berlaku dalam setiap sistem pemerintahan dan dalam setiap negara.
Kautilya ketika menghasilkan Arthashastra mengenal pasti 40 kaedah
menyalahgunakan wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan
peribadi. Kautilya mencatatkan: "Just as it is impossible not to taste
honey or the poison that finds itself at the tip of the tongue, so it is
impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the
King's revenue. Just as a fish underwater cannot possibly be found out either
as drinking or not drinking the water, so government work cannot be found out
(while) taking money (for themselves)".
Transparacency
International, menyatakan misi atau mission statement; "...(corruption)
undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the
misallocation of resources and particularly hurts the poor. Controlling it is
only possible with the cooperation of a wide range of stakeholders in the
integrity system, including most importantly, the state, civil society and the
private sector."
Rasuah
sering kali menjadi isu utama menyebabkan pemimpin dijatuhkan lalu diganti
dengan yang baru. Setiap pemimpin yang diberikan amanah berikrar mahu memerangi
rasuah. Undang-undang baru, digubal; undang-undang sedia ada, dipinda; pelbagai
agensi dibentuk; rakyat dijanjikan dan harapan diberikan; tetapi jika
undang-undang hanya berstatus dokumen bertulis, tidak dikuatkuasakan, ia tidak
mungkin menjadi senjata berkesan untuk memberi kemenangan dalam medan perang
menghadapi rasuah.
Pelbagai
agensi yang ditubuhkan tidak akan menjadi briged perang yang boleh mengibarkan
bendera kemenangan jika medan memerangi rasuah dilakukan secara selektif.
Di
kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling
banyak, tujuh undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa. Presiden Ferdinand
Marcos memperkenalkan lima Agensi Pencegah Rasuah yang baru dalam tempoh 21
tahun era pemerintahannya (1965 - 1986). Namun ia hanyalah kosmetik hiasan
untuk melindungi wajah yang hodoh. Bumi dan langit Filipina sarat diselubungi
mendung rasuah. Amalan rasuah memuncak semasa era pemerintahan Marcos; amalan
kronisme berlaku secara berleluasa, sanak-saudara dan kenalan rapat dilantik
mengetuai pelbagai agensi; masing-masing lebih cenderung mengumpul kekayaan
peribadi.
Undang-undang
dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program
yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan
memberikan kelebihan kepada para petugas untuk berupaya memberikan preskripsi
dan diagnostik yang tepat. Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada
dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa
melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk
membiayai keperluan asas harian.
Data
Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini
berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang
RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang RM3,000
sebulan. Tahap keupayaan pelaburan di kalangan majoriti bumiputera boleh
dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham
Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang. Permintaan Presiden
CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak nota RM10 dalam mesin ATM,
memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak
pun mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.
Data
menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara mahu mencapai
taraf negara maju dengan sasaran pendapatan per kapita 48,000 ringgit pada
2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan
persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption. Apakah pilihan
yang ada dalam kalangan pegawai awam mahupun swasta jika gaji tidak dapat
menampung perbelanjaan hidup harian?
Majoriti
yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada
yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara
sambilan, mengadakan kelas tuisyen, menjual kuih, mengambil upah menjahit,
melibatkan diri dalam direct selling, serta melakukan pelbagai kerja sampingan
untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka
keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu
menjejaskan produktiviti.
Inilah
hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori
ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama
memberikan fokus kepada aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta
khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin
meningkat. Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar
yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang
bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula Strepsil. Ia penyakit sosial
yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah
sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka
dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.
Pelaku
rasuah kategori kedua terdiri dalam kalangan yang bersifat tamak - bersifat
haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu
tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam
kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak
membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk
disabitkan, di samping sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang
atasan.
Usaha
memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama langkah
punitif yang tegas dan tidak selektif, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih
kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk mengukuhkan intergriti. Tegas dan
tidak selektif adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip.
Negara mempunyai contoh-contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan,
dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.
Majistret
pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu pada era
pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada era pimpinan
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Pelajaran merangkap Menteri
Kesihatan pada 1964, Allahyarham Abdul Rahman Talib kalah dalam perbicaraan kes
sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat
dengan rasuah. Allahyarham mengundur diri daripada Jemaah Menteri.
Sokongan
terhadap parti pemerintah, Perikatan merosot dalam pilihan raya umum 1969.
Allahyarham Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti
isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang parti Perikatan dan kerajaan
semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan.
Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak
tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang
terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua
Pengarah BPR, membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.
Menteri
Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir RM1.2 juta; RM330,000
disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Beliau meletakkan jawatan pada
Februari 1970. Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah
bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Di
peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota
Jemaah Menteri pada September 1970.
Pada
era kehebatan Roma, pemerintahan diktator diizinkan oleh undang-undang untuk
dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara menghadapi krisis; selepas
itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Cincinnatus, seorang Jeneral
Bersara, yang telah diserahkan kuasa memerintah secara diktator adalah contoh
pemimpin Roma yang tidak gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus
dilantik memimpin semasa Roma menghadapi krisis; setelah Roma kembali tenteram,
walaupun rakyat Roma memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya
dan mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Machiavelli
merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat seorang pemimpin yang
memiliki kekebalan serta daya tahan daripada melakukan rasuah kerana tidak
haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma
dalam batang tubuh Tun Abdul Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan
sifat tamak mempertahankan kuasa. Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13
Mei, Tun Abdul Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman,
meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak memilih untuk
mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem demokrasi berparlimen
dihidupkan semula.
Pada
era pimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Datuk Harun Idris pada
1976 disabitkan kesalahan rasuah. Harun dibicarakan di hadapan Paduka ayahanda
beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah (kini Almarhum
Al-Maghfurlah) menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai
sokongan politik tetapi seorang individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan
hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
"It
is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of
some other judge to perform that task. To me this hearing seems to reaffirm the
vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a
frightening decay in the integrity of some of our leaders. It has given
horrible illustrations of Lord Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and
absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of
some avowed limitations upon political authority.
..the
law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore
the fact that you are in a different category from any person that I have ever
tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions
of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who
differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had
every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way
along the road, you allowed avarice to corrupt you.
It
is incomprehensible how a man in your position could not in your own
conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only
betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also
the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign
Ruler, and above all the law of which you are its servant".
Penghakiman
tersebut mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan
menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan
dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi lidah Hakim Raja Azlan
Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas
terhadap tertuduh yang turut baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu
lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada
batang tubuh seorang kenalan.
Bertindak
secara tegas lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian.
Allah SWT telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi Adam a.s. ialah ciptaan
Ilahi, dimuliakan, dikurniakan status tinggi hingga para malaikat diperintahkan
sujud kepadanya. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan
oleh Ilahi secara tegas lagi segera; Nabi Adam diperintah keluar dari syurga.
Ayat
135 surah An-Nisaa, bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu
menjadi orang yang senantiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri mu sendiri ataupun
ibu bapa dan kaum kerabatmu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau
miskin, (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang
memperkatakan kebenaran), kerana Allah lebih mengetahui keadaan keduanya. Oleh
itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika
kamu memutarbelitkan atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui segala apa yang kamu lakukan."
Demikian
tegasnya prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam yang tidak sama sekali
memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang
melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu
bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat tersebut diperkukuhkan lagi dengan
salah satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya telah binasa
orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat
tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang
lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku
di dalam kekuasaan-Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku
kudungkan tangannya."
Aspek
preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan
ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak merupakan
faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam
menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri
daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah
Nabi Hud a.s. pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa, bermaksud: "Apakah kamu
mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermewah-mewah dan
memperlihatkan kekayaan".
Ketika
Allah SWT murka kepada Nabi Adam kerana terpengaruh dengan godaan iblis, Nabi
Adam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh
Allah SWT seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Thaahaa;
"Tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang,
tidak akan ditimpa panas matahari,"
Nabi
Adam tertipu dengan godaan iblis. Bahawa Allah telah memberi peringatan dalam
ayat 117 Surah tersebut; "Iblis adalah musuh". Baginda ditewaskan
musuh dengan janji palsu iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu 'pengekalan
kuasa' seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud:
"Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Hai
Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak
akan binasa."
Betapa
dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu
gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Memperkukuhkan iman adalah
benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan
daripada tergelincir dengan tarikan kebendaan, tarikan kemewahan serta tarikan
kepada pangkat dan kuasa. Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah yang
terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:
"Tiap-tiap
yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan
kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu
dikembalikan."
David
Owen, dalam karyanya, The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the Intoxication of
Power, melakukan analisis perlakuan rasuah dari lensa seorang doktor perubatan;
Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu
penyakit mental. Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia
menjadi tuli dan buta; lalu keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan
peribadi mengatasi kepentingan awam; sebarang pendapat yang bercanggah meskipun
datang daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam
kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa jua
tentangan.
Bahawa
kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan
tanggungjawab adalah ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar
adalah satu tuntutan. Setiap janji yang diungkapkan, setiap perkara yang
dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan, di
Mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar; ketika itu tidak ada peguambela untuk
membela dosa yang telah dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan.
Apa
kaitan ini semua dengan SPRM?
Memerangi
rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari insan. Rasulullah
bersabda: "Dalam diri manusia ada segumpal 'daging' apabila 'daging' itu
baik maka baiklah akhlak orang itu; apabila 'daging' itu buruk, maka buruklah
akhlak orang itu".
Semoga
Allah memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota SPRM, gigih
menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah. Walaupun apa jua yang terjadi SPRM
harus melengkapkan siastan terhadap 1MDB dan SRC International Sdn Bhd. SPRM
ingin menegaskan sekali lagi bahawa SPRM tidak terlibat dalam siasatan kes 1MDB
sebaliknya hanya menyiasat kes SRC
International Sdn Bhd. SPRM menjalankan fungsinya mengikut peruntukan Akta SPRM
2009 dengan bebas, telus dan professional. Semoga setiap niat ikhlas dan tugas
yang dilaksanakan secara jujur mendapat hidayat dan ganjaran Ilahi.
#supportsprm
#sprmpejuangantirasuah
#sprmbukanpekomplot
#untukmusprm
#solidarityforsprm



No comments:
Post a Comment