StatCounter

Thursday, 11 June 2015


SPRM Yakin Strategi Transformasi Akan Tingkat Keyakinan Masyarakat Ke Atas SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin proses transformasi yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya akan menyumbang kepada pencapaian sasaran keberhasilan dalam tiga aspek iaitu pengurusan siasatan yang berkesan, pencegahan dan pendidikan masyarakat yang efektif dan mengekalkan keyakinan berterusan masyarakat ke atas SPRM.

“Melalui transformasi ini, kita membuktikan bahawa kita telah berjaya mencapai siasatan yang berkesan, telus dan bebas.

“Kita percaya setiap usaha transformasi SPRM ini mampu meraih keyakinan dan kepercayaan masyarakat,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Sri Zakaria Jaffar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Pejabat SPRM Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching.

Tambah beliau, perkembangan ini sebagai satu anjakan baru dalam perjalanan SPRM berkhidmat dengan lebih efektif dengan memiliki bangunan sendiri sejak Ogos 2014.

“Salah satu matlamat pemilikan bangunan sendiri ialah untuk meningkatkan prestasi dan keberkesanan tindakan SPRM dalam menyelesaikan kes, dengan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan,” kata beliau.

Beliau juga meletakkan keyakinan masyarakat akan menjadi sebagai keutamaan bagi warga kerja SPRM keseluruhannya.

“Kami berharap dengan adanya kemudahan yang lebih selesa dan bertambah baik akan membolehkan warga kerja SPRM menghasilkan standard kerja yang berkualiti tinggi, akan memanfaatkan rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk jangka panjang,” ujar beliau ketika sidang media selepas majlis perasmian.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Sarawak, Dato’ Badrul Shah Norman pula berkata, Kompleks Pejabat SPRM Sarawak ini juga mempunyai tahap kawalan keselamatan yang tinggi, di mana ia dilengkapi kamera CCTV.

“Selaras dengan dasar mesra rakyat, bangunan ini juga mempunyai kemudahan untuk orang kelainan upaya seperti tempat parkir dan bilik air,” tambah beliau.

Kompleks ini terdiri daripada sebuah bangunan tiga tingkat yang mengandungi keperluan selaras dengan transformasi operasi yang telah dan sedang dilaksanakan sebagaimana saranan pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, antaranya meliputi sebuah bilik temu bual bervideo (VIR), empat buah bilik rakaman pernyataan, satu bilik kawad cam, dua buah sel lokap serta dua buah Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS).

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, Tan Sri Wilson Baya Dandot; Pengerusi Eksekutif Harwood Timber Sdn Bhd, Tan Sri Bujang Mohd Nor, pegawai-pegawai kanan SPRM serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

 

No comments:

Post a Comment