PENGUAT KUASA KHIANAT
AMALAN RASUAH JADI
PUNCA SEMPADAN MUDAH DIBOLOSI
Dalam
BAHAGIAN KEDUA laporan khas ini, wartawan Utusan Malaysia, ILAH HAFIZ AZIZ,
NORAZRIN MARZUKI, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR dan LILIS SURIANI OMAR
mendedahkan pula modus operandi sindiket dalam memastikan segelintir anggota
penguat kuasa ‘berada dalam genggaman’ mereka. Turut didedahkan bagaimana
segelintir anggota penguat kuasa menerima suapan dalam bentuk harian dan
bulanan sehingga memungkinkan sempadan kita ibarat ‘laluan’ untuk kegiatan
penyeludupan.
KUALA
LUMPUR 21 Jun - Sikap khianat segelintir
anggota agensi penguat kuasa terus menjadi `duri dalam daging sehingga
mengakibatkan sempadan negara begitu mudah dibolosi oleh pihak-pihak tidak
bertanggungjawab.
Apa
yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua dekad lalu
namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di sempadan negara.
Sumber
memberitahu, meskipun penambahbaikan serta cadangan demi cadangan yang
komprehensif diberikan, namun sistem perjalanan kerja yang dilakukan penguat
kuasa di sempadan masih berada di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan
rasuah menjadi budaya dalam kalangan mereka.
“Kelemahan
itu menjadi faktor utama ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mendapat
peluang dan kesempatan untuk membeli penguat kuasa dengan wang ringgit.
“Lebih
menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja, pintu masuk di
sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan penyeludupan yang
akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelemahan
itu juga dakwa sumber itu, diketahui pegawai atasan atau ketua-ketua jabatan
yang menyelia sistem kerja penguat kuasa namun sehingga kini tiada sebarang
tindakan drastik diambil sejak bertahun lamanya.
Sumber
berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja anggota mereka
sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan atau mengetahui
berlakunya kejadian rasuah.
“Ketirisan
di sempadan ini bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah berpuluh-puluh
tahun dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya.
“Perkara
ini berpunca akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian terhadap cara
kerja anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya pemantauan secara
berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap aturan kerja
penguat kuasa.
“Malah
apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik dilakukan dan
pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan berkhidmat di lokasi
sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah mata dan tidak ambil
peduli,” katanya.
Utusan
Malaysia turut difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
(SPRM) di sempadan utara negara baru-baru ini adalah disebabkan permasalahan
ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak sekian lama di seluruh
negara.
“Walaupun
laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan drastik
dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap tidak
berintegriti sebilangan penguat kuasa.
“Walaupun
jumlah tangkapan sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun bilangan itu
dilihat tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan negara,’’ kata
sumber itu lagi.
See
more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penguat-kuasa-khianat-1.105858#sthash.f2bwrcbI.qxGlOmh2.dpuf
Gaya hidup mewah
penguat kuasa
KUALA
LUMPUR 21 Jun – Gaji dan elaun yang diterima seorang pegawai penguat kuasa di
sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah ini hanyalah sekitar lebih RM4,000 sahaja,
tetapi gaya hidup yang diamalkannya sangat mengujakan.
Bukan
hanya berkereta mewah jenis pacuan empat roda tetapi turut memiliki beberapa
lagi kenderaan baharu. Dia juga mempunyai rumah besar di kampung malah ke luar
negara untuk bercuti bersama isteri dan anak pada setiap tahun.
Jika
dihitung, jumlah pendapatan yang diperoleh pegawai kerajaan ini tidak mampu
menampung gaya hidup mewah keluarganya dan itu menimbulkan persoalan terhadap
sumber kekayaan ’luar biasanya’
Namun
apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ‘campur tangan’, didapati gaya
hidup si penguat kuasa ini rupanya-rupanya adalah hasil keuntungan sewaktu
berkhidmat di sempadan negara.
Menurut
satu sumber SPRM, hasil siasatan mendapati, si penguat kuasa ini memperoleh
sumber pendapatan sampingan apabila bekerjasama rapat dengan penyeludup
barangan di sempadan.
“Gaya
hidup mewah penguat kuasa ini adalah salah satu daripada senario yang berlaku
dalam kalangan penguat kuasa sempadan yang mengamalkan korupsi ketika
menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Dalam
satu transaksi yang disiasat SPRM, penguat kuasa ini memperoleh ‘wang ekstra’
sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan daripada satu kumpulan penyeludup di
sempadan.
“Bayaran
itu diberikan secara konsisten pada setiap bulan kepada penguat kuasa supaya
menutup mata ketika aktiviti penyeludupan barangan terkawal dan bersubsidi
berlaku di sempadan. Kita juga percaya bukan hanya satu transaksi rasuah yang
dikutipnya setiap bulan,” kata sumber, ketika ditemui baru-baru ini.
Selain
itu, sumber berkata, siasatan turut menunjukkan ada dalam kalangan penguat
kuasa datang mengutip sendiri wang tersebut di lokasi yang ditetapkan
penyeludup.
“Bayaran
itu juga tidak termasuk ‘kutipan tol’ yang diperoleh penguat kuasa ketika
melakukan semakan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke dalam negara,”
katanya.
Menyentuh
tentang soal gaji yang kecil dalam kalangan penguat kuasa di sempadan sehingga
menyebabkan berlakunya aktiviti rasuah, sumber SPRM mendedahkan, pendapatan sah
yang diperoleh setiap bulan adalah mencukupi.
“Gaji
kakitangan kerajaan adalah cukup dan sesetengahnya jauh lebih besar berbanding
kakitangan swasta kerana mereka dibekalkan dengan pelbagai elaun sara diri,”
katanya.
See
more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/gaya-hidup-mewah-penguat-kuasa-1.105846#sthash.t4IsCnGJ.dpuf
Dua kaedah rasuah
berlaku di sempadan
KUALA
LUMPUR 21 Jun – Dua kaedah rasuah dalam kalangan penguat kuasa dikesan berlaku
di sempadan tanah air sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
Kaedah
yang dikesan itu adalah rasuah melalui kutipan bulanan (berskala besar) dan
rasuah secara kutipan tol (by chance).
Menurut
sumber, kaedah kutipan bulanan dikesan melibatkan nilai suapan lebih tinggi dan
boleh mencecah sehingga RM40,000 sebulan, manakala kaedah kutipan tol, biasanya
penguat kuasa akan mengutip wang habuan antara RM200 hingga RM1,000 seorang
sehari.
Sumber
berkata, kaedah kutipan bulanan yang diperolehi akan disimpan di dalam satu
tabung khas dan kemudiannya dibahagi-bahagikan sesama penguat kuasa pada setiap
hujung bulan.
“Jika
kutipan wang melibatkan jumlah yang lebih besar, kebiasaannya dilakukan sendiri
oleh ketua-ketua jabatan yang menyalahguna kuasa. Mereka akan pergi sendiri ke
lokasi rahsia barangan penyeludupan disimpan untuk mengutip ‘hasil’ yang
dijanjikan kepada mereka.
“Rata-rata
pegawai dan anggota bawahan juga telah sedia maklum mengenai sistem kutipan
tersebut dan disebabkan itu tabung khas kutipan rasuah diwujudkan dalam
kalangan mereka.
“Setiap
hujung bulan, ketua-ketua jabatan akan mengagihkan bahagian masing-masing. Wang
yang diagihkan biasanya mengikut ranking pangkat,” kata sumber.
Sementara
itu, rasuah mengikut kaedah kutipan tol biasanya dikutip oleh penguat kuasa
tamak yang merasakan wang suapan yang diterima pada setiap bulanan tidak
mencukupi.
Katanya,
penyeludup yang mahu melancarkan proses perjalanan mereka tiada pilihan kecuali
memberi wang suapan itu kepada penguat kuasa terbabit.
“Rasuah
yang berlaku di sempadan ketika ini memang benar-benar memasuki fasa serius
kerana bukan sahaja penguat kuasa rakus mengambil rasuah daripada sindiket
penyeludupan malah, turut meminta-minta daripada warga asing yang tidak
melakukan sebarang kesalahan.
“Melalui
maklumat pasukan perisik, turut wujud situasi si pelaku dengan sengaja menahan
kenderaan dan mengugut mengatakan kononnya mangsa melakukan kesalahan yang
memerlukan dia dibawa ke balai polis.
“Mangsa
yang tiada pilihan kerana takut dan bimbang disiasat terpaksa menghulurkan
sejumlah wang supaya tidak diambil tindakan,” kata sumber itu.
Tambah
sumber, hakikatnya demikian situasi yang berlaku di sempadan apabila harga
sempadan kita seolah-olah tiada nilai sehingga mudahnya ‘dirogol’ oleh
penjenayah akibat sikap tamak penguat kuasa.
See
more at:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-kaedah-rasuah-berlaku-di-sempadan-1.105844#sthash.CoHb5Zwn.dpuf

No comments:
Post a Comment