StatCounter

Saturday, 13 June 2015

Cadangan SPRM wajar,

Demi masa depan bangsa Melayu dan bumiputra


SEMALAM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed telah mencadangkan undang-undang sabotaj ekonomi diperkenalkan. Keperluan undang-undang tersebut adalah untuk mencegah orang Melayu menjual kontrak yang diberikan kepadanya seperti Permit Import (AP) atau konsesi balak.

Cadangan SPRM agar kerajaan menggubal akta bagi menghalang aktiviti penjualan tender oleh kontraktor Melayu dan Bumiputera kepada pihak ketiga adalah wajar berikutan timbulnya pelbagai isu seperti  subkontraktor yang gagal membayar sebahagian keuntungan kepada kontraktor asal yang mendapat tender. Sistem subkontraktor ini memang banyak digunakan oleh mana-mana kontraktor pada hari ini, tetapi perlu bersyarat yang mana pihak ketiga diwajibkan layak menjalankan projek tersebut termasuklah mendaftar secara sah di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Jika tidak dibendung, tindakan kontraktor tersebut yang dilabel sebagai musuh negara akan turut menjadi penghalang kepada peluang generasi muda khusunya bangsa melayu dan bumiputera yang berminat atau mahu belajar dalam bidang berkenaan. Sudah sampai masanya anak Melayu yang merosakkan nama bangsanya dengan menjual 100 peratus kontrak yang diberikan perlu dihukum di bawah undang-undang ini. Sekiranya seorang anak Melayu betul-betul menjalankan konsesi balak, maka akan terbinalah kilang papan orang Melayu serta akan lahir kilang perabot milik orang Melayu. Malangnya anak Melayu yang mendapat konsesi balak lebih suka menerima rasuah dan menyerahkan projek itu kepada pihak ketiga dan hanya memikirkan keuntungan dalam masa yang singkat semata-mata.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, undang-undang khas wajar diwujudkan kerana yang sedia ada tidak begitu spesifik terhadap perbuatan yang merosakkan ekonomi. Malaysia memerlukan satu mekanisme yang boleh membuktikan dengan mudah kesalahan-kesalahan memanipulasikan ekonomi bukan sahaja rasuah, malah sabotaj ekonomi yang tertumpu pada bentuk saham dan juga aliran keluar masuk wang tanpa kebenaran bank negara.

Hari ini, laporan di Utusan Malaysia Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat, integriti golongan yang terlibat dalam kesalahan memanipulasikan ekonomi juga perlu diperbetulkan kerana ini berpunca daripada sikap dan niat. Orang Melayu berjaya perlu berpegang teguh kepada agama serta mendedahkan diri kepada amalan-amalan murni yang dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti ini.


Cadanagn SPRM menubuhkan undang-undang sabotaj ekonomi bagi menghalang aktiviti penjualan tender oleh kontraktor bumiputera kepada pihak ketiga wajar disokong semua pihak. Tindakan menjual tender perlu dijadikan satu kesalahan jenayah memandangkan perbuatan tersebut menyebabkan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi bumiputera gagal dicapai. Akhirnya siapa yang rugi? Bangsa Melayu itu sendiri. Sama-samalah kita fikrkan.

No comments:

Post a Comment