MARA INC: BADAN BEBAS SPRM
YAKIN SPRM SIASAT DENGAN TELUS DAN PROFESIONAL
Lembaga Penasihat Pencegahan
Rasuah (LPPR) mempunyai keyakinan tinggi yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu pembelian hartanah oleh
MARA Incorporated Sdn Bhd di Australia dengan bebas, telus dan profesional.
LPPR, salah satu badan bebas yang
memantau perjalanan SPRM sejak 2009, yakin kerana SPRM dari semasa ke semasa
memaklumkan kemajuan kes-kes yang disiasat, khususnya kes berprofil tinggi dan
berkepentingan awam, apabila diminta berbuat demikian ketika mesyuarat bulanan
LPPR.
Justeru, LPPR juga
percaya tidak timbul isu SPRM cuba menutup mana-mana kes yang disiasat.
Dalam hal ini, motif YB Lim Kit
Siang yang mempolitikkan isu ini dengan mendakwa seolah-olah SPRM mahu menutup
kes ini, satu tindakan tidak bertanggungjawb.
Berdasarkan Akta SPRM 2009, SPRM
hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan. Oleh itu, adalah penting bagi semua
pihak meletakkan kepercayaan ke atas sistem dan institusi pencegahan rasuah di
negara ini.
Memandangkan isu pembelian
hartanah ini masih disiasat, maka LPPR berharap semua pihak akan bersabar dan
memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh. Jangan
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai dan
menjejaskan imej Suruhanjaya.
Selain LPPR, perjalanan SPRM juga
dipantau oleh empat badan bebas yang lain. Panel Penilaian Operasi (PPO), yang
fungsi dan kedudukannya pernah diiktiraf oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC), mempunyai peranan secara langsung
berkenaan dengan aspek siasatan SPRM. Berdasarkan terma rujukan, PPO juga
diberi makluman mengenai status sesuatu kes dari semasa ke semasa.
PPO, misalnya, pernah menasihatkan
agar lebih 50 kes yang diputuskan tidak ada kes untuk didakwa oleh Pendakwa
Raya antara tahun 2009 dan 2014, agar disiasat lanjut. Daripada jumlah itu,
lapan kes berakhir dengan pendakwaan di mahkamah. Ini menunjukkan SPRM
menjalankan fungsinya dengan bebas dan profesional.
Tiga panel yang lain ialah
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan
Pencegahan Rasuah, yang mana masing-masing mempunyai peranan bagi memelihara
kebebasan, ketelusan dan profesionalisme SPRM.
Mengambil kira
keseluruhan fungsi SPRM dan lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM
sejak 2009, LPPR amat yakin tidak akan wujud sebarang ruang untuk menutup apa
jua kes yang disiasat.
LEMBAGA PENASIHAT
PENCEGAHAN RASUAH
BADAN BEBAS PEMANTAU
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
28 JUN 2015

No comments:
Post a Comment