StatCounter

Tuesday, 23 June 2015


LAKSANAKAN SYOR SPRM, INTEGRITI BERMULA DARI PIHAK ATASAN

AWASI pengkhianat di sempadan

UTUSAN MALAYSIA 23 JUN 2015
Muka Surat 10
ZULKIFLEE BAKAR  |  23 Jun 2015 12:40 AM

MEMUALKAN! Mungkin itulah perkataan paling sesuai apabila kita memperkatakan berhubung sempadan ne­gara begitu mudah dibolosi aki­bat pengkhianatan melalui ama­lan rasuah yang dilakukan oleh segelintir anggota agensi penguat kuasa.

Apabila menyebut rasuah maka kita dengan mudah menuding jari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Memang benar agensi itu bertanggungjawab membanteras rasuah tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab ketua-ketua jabatan yang sepatutnya memastikan kakitangan di bawah mereka bersih daripada amalan rasuah?

Pernahkah ketua-ketua jabatan bertanya adakah sesuatu syor yang dibuat oleh SPRM kepada mereka dipatuhi, diikuti atau dilaksanakan? Contohnya, kes rasuah melibatkan segelintir anggota agensi penguat kuasa di sempadan, adakah ketua-ketua jabatan benar-benar berusaha untuk memastikan gejala itu tidak terus berlaku?

Kalau benar mereka sudah melakukan sesuatu terutamanya bekerjasama rapat dengan SPRM sudah pasti gejala jahat itu tidak berterusan sehingga dua dekad. Sebenarnya, terdapat satu sindrom dalam kalangan ketua-ketua jabatan iaitu terlalu mahu menjaga imej jabatan mereka justeru kes-kes penyelewengan banyak didiamkan begitu sahaja.

Rasuah tidak kira sekecil mana pun tetap rasuah dan ia ibarat virus barah yang lama kelamaan boleh melumpuhkan seluruh sistem badan. Atas sebab itulah perlu ada ketelusan dalam kalangan ketua-ketua jabatan untuk memastikan orang bawahan mereka bukan sahaja bersih tetapi perlu dilihat bersih.

Tetapi malangnya seperti mana kata satu sumber kepada penulis, dalam banyak kes mereka yang bertaraf ‘kepala’ sendiri terlibat, bagaikan seekor ikan kalau kepala sudah busuk maka busuklah ikan itu.

Begitulah juga dengan ketua-ketua yang tidak bersih ini, ia menjadi ikutan kepada orang bawahan mereka sehingga akhirnya gejala rasuah bukanlah lagi dianggap sesuatu yang menjijikkan tetapi lubuk untuk hidup mewah dengan menjamah wang haram.

Oleh itu, sudah tiba masanya pembasmian rasuah dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa dilakukan habis-habisan. Usaha ini hanya akan berjaya kalau ketua-ketua jabatan benar-benar ikhlas untuk mengepalai satu agensi yang bersih.

Dalam berhadapan isu ini, penulis difahamkan SPRM sudah pun menyediakan langkah penambahbaikan bagi memulihkan integriti agensi-agensi penguat kuasa supaya tidak wujud dalam kalangan anggotanya menjadi pengkhianat kepada tanah air sendiri.

Mungkin istilah pengkhianat itu nampak kasar tetapi istilah apa lagi yang paling sesuai untuk menggambarkan sikap sekelompok manusia yang diberikan amanah menjaga sempadan negara mengkhianatinya. Ini bukan soal jumlah yang diambil sama ada RM20, RM200 atau RM40, 000, rasuah tetap rasuah yang akan mendedahkan negara dalam bahaya.

Perbuatan menerima rasuah di sempadan adalah perbuatan bahaya kerana akan memberi laluan mudah kepada sindiket untuk menjalankan aktiviti mereka. Kelompok itu tidak akan pernah berasa gerun dengan undang-undang negara ini kerana mereka memahami orang yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang itu boleh dibeli waima dengan nilai RM20 sekalipun. Itulah maruah segelintir anggota agensi penguat kuasa kita.

Dalam satu pertemuan dengan penulis sumber SPRM memberitahu, punca yang dikenalpasti menyebabkan sempadan negara mudah dibolosi ialah;

* Sikap tamak dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa bagi meraih keuntungan peribadi hingga sanggup menggadai maruah diri serta kedaulatan negara.

* Kelemahan sistem dan prosedur jadual penggiliran bertugas.

* Kurangnya pemantauan secara berkala dan berterusan oleh pihak atasan ke atas pegawai dan anggota bawahan.

* Amalan rasuah menjadi budaya, apabila orang lama mengajar atau mengarahkan orang baru melakukan perbuatan terkutuk itu.

* Sikap ingin gaya hidup mewah tanpa mengambil kira kemampuan.

Berdasarkan senario itu, SPRM juga difahamkan telah menggariskan beberapa penambahbaikan iaitu;

* Pemantauan berkala dan berterusan oleh ketua jabatan bagi memastikan tidak wujud peluang dan ruang perlakuan tidak berintegriti dalam kalangan pegawai dan anggota bawahan.

* Pemasangan CCTV yang lebih banyak di sempadan bagi memantau gerak geri anggota penguat kuasa.

* Mewajibkan dijalankan integrity testing ke atas sistem penguatkuasaan bagi memastikan setiap peraturan dipatuhi oleh anggota mereka.

* Membuat penambahbaikan ke atas sistem dan prosedur yang sudah tidak relevan.

* Memantau gaya hidup pegawai dan anggota penguat kuasa.

Sememangnya punca sudah dikenalpasti dan penambahbaikan sudah dikemukakan. Persoalannya sejauh manakah ketelusan ketua-ketua jabatan bagi menangani permasalahan yang berlaku?

Janganlah mengamalkan sikap toleransi tidak bertempat sehingga menyebabkan rasuah ibarat api dalam sekam yang kesudahannya akan memusnahkan negara ini. Oleh itu, kepada ketua-ketua jabatan bertindak jujurlah, buanglah sikap lepas tangan kalau benar mereka mahu berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.


 

No comments:

Post a Comment