PROMOSI MALAYSIA HAB
LATIHAN ANTIRASUAH
KEMUNGKINAN
besar tulisan ini karya saya yang terakhir sebelum berundur dari perkhidmatan
awam selepas berkhidmat lebih tiga dekad (bersama Badan Pencegah Rasuah yang
kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau singkatannya
SPRM). Saya akan bercuti sempena persaraan mulai awal Ogos ini.
Akhir
tahun lalu, saya berpeluang ke Bhutan untuk mengambil bahagian dalam program
kerjasama latihan agensi penguat kuasa negara itu dan SPRM. Bhutan
memperlihatkan kebanggaan pihaknya kerana berpeluang berkongsi pengalaman
dengan Malaysia.
Negara
Asia Selatan yang terletak di hujung pergunungan Himalaya itu sebenarnya berada
dalam kedudukan lebih tinggi dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding
Malaysia.
Saya
pun hairan. Negara yang tinggi ranking dalam CPI, tetapi berminat mempelajari
pengalaman Malaysia dari segi pembinaan kapasiti dan keupayaan mencegah
rasuah.
Sepatutnya
kita belajar daripada mereka. Bukan sebaliknya.
Ketika
itu, jawapan yang diberikan pemimpin Bhutan: Mereka gembira kerana Malaysia
jujur dan ikhlas dalam berkongsi ilmu dan pengalaman dengan negara itu.
Perkara
sama ditekankan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan, Zeten
Zangmo ketika berada di Putrajaya sempena majlis menandatangani Memorandum
Persefahaman dengan SPRM pada 11 Mac lalu.
“Bhutan
memilih Malaysia kerana negara ini mengamalkan keterbukaan dan komited dalam
perkongsian pengalaman. Malaysia (dan SPRM) mempunyai pengalaman yang luas
dalam membendung jenayah rasuah di peringkat antarabangsa serta rantau Asia.
Malaysia juga telah mengintegrasikan dan menginstitusikan pendekatan antirasuah
yang telah dijadikan contoh di peringkat dunia,” kata Zeten.
Saya
terharu dengan kata-kata ini. Bagi saya dan SPRM, ini satu penghargaan dan
penghormatan buat Malaysia. Sumbangan Malaysia diiktiraf oleh pihak luar.
Perakuan ini harus menjadi satu kebanggaan buat rakyat Malaysia sementara kita
bekerja keras untuk memerangi rasuah.
Di
SPRM, peranan melatih pegawai terletak di bahu Akademi Pencegahan Rasuah
Malaysia (MACA) yang tahun ini berusia satu dekad.
MACA
menyediakan latihan secara konsisten kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Bhutan sejak 2011 berkaitan siasatan dan perisikan. Pada
2013, MACA mendapat pengiktirafan Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah
(UNODC). Dalam laporan penilaian berkenaan pematuhan Malaysia, khususnya SPRM
ke atas Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC), UNODC mengiktiraf
peranan MACA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.
MACA
mengambil pelbagai pendekatan untuk menjadi pusat serantau bagi usaha-usaha memerangi
dan mencegah rasuah.
Pelbagai
institusi dan pertubuhan antarabangsa menyatakan hasrat untuk bekerjasama
dengan Malaysia dalam menyediakan tenaga pengajar, pakar untuk merangka dan
mengendalikan kursus, latihan, seminar dan bengkel setiap tahun, terutamanya di
rantau Asia Pasifik dalam pembanterasan jenayah rasuah. Ini boleh dilaksanakan
melalui hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan agensi-agensi penguat kuasa
serantau seperti ICAC Hong Kong, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Badan
Pencegah Rasuah Brunei Darussalam, Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Korea
Selatan, Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Biro Siasatan Amalan Rasuah
Singapura dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand.
Dengan
adanya pelbagai program yang dirancang, diharapkan MACA akan muncul sebagai
pusat pembelajaran dan latihan terpenting di rantau Asia. Penubuhan MACA ini
juga adalah sebagai tanggungjawab untuk meningkatkan kemahiran dan
profesionalisme pegawai-pegawai SPRM, melalui penyediaan kursus dalam
perkhidmatan untuk modul penyiasatan, pendakwaan, perisikan, pendidikan
masyarakat, pemeriksaan dan perundingan, tatacara kerja, pengurusan dan
kewangan, keselamatan, kepimpinan, latihan kejurulatihan, teknologi maklumat
serta pengajian bahasa terutama bahasa Inggeris.
Visi
MACA menjadi pusat kecemerlangan pencegahan rasuah bertaraf serantau dan
antarabangsa. Kumpulan sasarannya pegawai SPRM, jabatan dan agensi kerajaan,
sektor swasta, dan peserta dari negara.
Sejak
penubuhannya MACA berusaha gigih memberikan latihan berkaitan penguatkuasaan
antirasuah yang signifikan dan efektif di peringkat nasional dan global.
Kejayaan MACA menganjurkan pelbagai program latihan melalui kerjasama
strategik dengan agensi-agensi antarabangsa membuatkannya semakin diiktiraf
sebagai peneraju pusat latihan antirasuah yang mapan.
Demi
mencapai objektif membanteras jenayah rasuah, MACA, Pertubuhan Kerjasama dan
Pembangunan Ekonomi (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa dan Interpol telah
berganding bahu menganjurkan seminar-seminar teknikal di Malaysia.
MACA
ditubuhkan sebelum SPRM lahir sebagai sebuah suruhanjaya bebas pada 2009. Susulan
kewujudan SPRM dan selari dengan program transformasi, peranan MACA bertambah
giat dan luas. Tanggungjawab akademi meningkat bagi membolehkan SPRM memiliki
barisan modal insan yang mahir dan berpengetahuan luas.
Dalam
hal ini, Pusat Latihan Asas (PLA) bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan
program latihan untuk pembangunan kerjaya pegawai dan kakitangan sokongan
dengan tumpuan utamanya menjalankan kursus asas kepada pegawai-pegawai lantikan
baru SPRM. PLA adalah nadi kepada SPRM untuk melatih pegawai-pegawai baru.
Di
sebalik peranan itu, dalam era globalisasi, usaha membanteras rasuah, salah
guna kuasa dan penyelewengan menjadi semakin rumit. Kemajuan teknologi,
kepesatan pembangunan, nilai kemanusiaan yang terhakis antara cabaran yang
menyukarkan lagi inisiatif pencegahan jenayah rasuah.
Justeru
SPRM menjadi tonggak penting dalam membantu memperkasa integriti yang
dizahirkan melalui peranan latihan yang dimainkan Pusat Pembangunan Integriti
Korporat, MACA.
Penyertaan
pegawai penguat kuasa dari luar negara dalam Program Pegawai Integriti
Bertauliah (CeIO), kendalian SPRM menyaksikan peningkatan, sekali gus
meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas mekanisme kawalan
dalaman. Peningkatan itu ada kaitan dengan impak dan kesan positif yang
disumbangkan oleh Program CeIO kepada agensi swasta dan awam.
Ketika
Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) Ke-10 di ibu
negara awal Disember 2014, SPRM telah menawarkan untuk menjadikan MACA sebagai
hab latihan serantau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti pencegahan
rasuah.
Putrajaya
menjadi lokasi Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 pada
September ini. Diharap pengalaman dan kejayaan seperti ini akan dikongsi, bukan
sahaja bagi manfaat Malaysia, bahkan demi masyarakat antarabangsa.
Berdasarkan
pengalaman peribadi saya sebagai pegawai antirasuah selama lebih tiga dekad,
Malaysia mempunyai amalan baik dan kejayaan untuk dikongsi bersama negara lain.
Begitulah sebaliknya.
Dato’
Sri Hj. Zakaria Hj. Jaafar
Timbalan
Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme)
SPRM

No comments:
Post a Comment