2 TAUKE LADANG TERMASUK WARGA BANGLADESH
SERAH DIRI
Antara 21
lelaki ditahan setakat ini kerana disyaki beri rasuah
Tauke ladang warga Bangladesh (kiri) dari Cameron Highlands menyerah diri
di Pejabat SPRM Perak di Meru Raya, semalam bagi membantu siasatan kerana
disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa.
IPOH 1 Julai - Dua tauke ladang dari Cameron Highlands termasuk seorang
lelaki warga Bangladesh hari ini menyerah diri di Pejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan kerana disyaki
memberi rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Penahanan dua suspek terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tauke
ladang yang ditahan setakat ini seramai 21 orang.
Lelaki warga tempatan berusia 39 tahun itu ditahan selepas menyerah diri
pada pukul 9 pagi manakala lelaki Bangladesh berusia 41 tahun itu pula diberkas
pada pukul 2 petang ini.
Sumber SPRM memberitahu, daripada kesemua tangkapan itu, lapan
daripadanya ditahan di Ringlet, Tanah Rata (1), Tringkap (2), Brinchang (1),
Kampung Raja (4) dan lima lagi menyerah diri di Pejabat SPRM Perak.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia antara 20 hingga
68 tahun itu dipercayai mengusahakan ladang seluas 67 hektar di kawasan tanah
tinggi itu.
“Seramai 19 tauke ladang telah ditahan semalam dalam Ops Sejuk yang
bermula pukul 9 pagi hingga lewat malam. Dua lagi suspek bagaimanapun berada di
luar kawasan dan kita telah minta mereka hadir serah diri hari ini.
“Setakat ini, kesemua 19 tauke ladang ini telah dilepaskan dengan jaminan
selepas kita merekodkan keterangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Menurut sumber itu, sebanyak 25 aduan rasuah telah dibuat mengikut
Seksyen 17B Akta SPRM dimana melibatkan kesalahan tidak mengambil tindakan
meroboh kebun sayur yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan dan hutan
simpan.
Katanya, aduan itu turut melibatkan kesalahan melanggar syarat Lesen
Pendudukan Sementara (LPS) dan bangunan kekal, melindungi pendatang asing tanpa
izin (PATI), menyimpan racun tidak berjadual dan menggunakan parabola.
“Selepas pelbagai operasi melibatkan pelbagai agensi bagi menangani
masalah di kawasan ini dijalankan, kita hairan apabila perkara sama masih
berlaku seperti sebelum ini.
“Keadaan ini menimbulkan rasa curiga apabila melihat senario ini masih
wujud,” katanya.
Ditanya sama ada kemungkinan akan ada tangkapan lain selepas ini, sumber
itu berkata, ia bergantung kepada soal siasat terhadap kesemua suspek
terbabit.
“Sehingga kini hanya 21 suspek ditangkap dan kita jangkakan sudah tiada
lagi. Bagaimanapun, sekiranya timbul nama lain semasa soal siasat, siasatan
lanjut akan diteruskan,” ujarnya.



No comments:
Post a Comment