SPRM DAN ESSCOM JALIN
KERJASAMA PERANGI RASUAH
Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan kerjasama Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melancar operasi besar-besaran bagi
membanteras masalah integriti dalam kalangan kakitangan awam khusus yang
bertugas di bahagian penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Timbalan
Pengarah Perisikan Esscom, ACP Hashim Justin berkata, pihaknya memandang serius
masalah itu dan bertekad untuk membersihkan jentera awam bahagian
penguatkuasaan di Esszone daripada masalah integrity.
"Esscom
kini berdepan dua ancaman keselamatan iaitu ancaman yang datang dari luar dan
ancaman dari dalam.
"Ancaman dari dalam bukan sahaja dari
kalangan pendatang tanpa izin (Pati) yang menjadi tali barut penceroboh
bersenjata dan penjenayah rentas sempadan, tetapi juga musuh dalam selimut yang
terdiri daripada kakitangan awam (penguat kuasa) yang terlibat dengan amalan
rasuah dan salah laku yang memudah cara kemasukan Pati dan aktiviti
penyeludupan di Esszone," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai keselamatan pada majlis
berbuka puasa anjuran Esscom di Masjid Pangiran Haji Abdul Karim, Kampung
Kalumpang dekat sini malam tadi.
Turut
hadir Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi dan Pengarah Pusat Operasi
Esscom, Brig Jen Dato' Tuan Roslan Tuan Ismail.
Hashim
berkata, perkara itu telah dibawa dan dibincangkan di peringkat tinggi dan
Esscom bersama SPRM telah bersetuju untuk melancarkan operasi tersebut.
"Seperti
yang kita tahu berdasarkan kes lampau, ramai pendatang tanpa izin yang
menyelinap masuk ke negara kita melalui Esszone dan seterusnya memperoleh kad
pengenalan MyKad kerana dibantu oleh kakitangan awam sendiri yang menerima wang
kopi atau rasuah.
"Begitu juga aktiviti penyeludupan.
Aktiviti ini berterusan sehingga sekarang kerana ada di kalangan kakitangan
awam atau penguat kuasa yang tidak berintegriti. Ingat mulai hari ini, Esscom
bersama SPRM akan memburu mereka," katanya.
Hashim
berkata, minyak petrol atau diesel yang diseludup dengan cara rasuah ke selatan
Filipina sebenarnya telah membantu kumpulan penjenayah rentas sempadan dari
negara itu memasuki dan melakukan jenayah di Esszone
Sehubungan
itu, beliau menasihatkan mereka supaya memberhentikan perbuatan itu serta merta
kerana ia boleh mengancam dan memudaratkan keselamatan negara.
"Marilah
kita bersatu menjaga keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Esszone. Sama ada
kita anggota kakitangan awam, termasuk penguat kuasa atau pasukan keselamatan,
jangan kita gadai kedaulatan negara," katanya.
Hashim
turut meminta orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa, jika
mempunyai bukti yang kukuh kakitangan awam di Esszone terlibat dengan amalan
rasuah dan salah laku. – Bernama

No comments:
Post a Comment