Perlu diakui dalam konteks yang tersendiri perlakuan rasuah
di negara ini serius walaupun data menunjukkan ia terkawal. Terlalu banyak kes
terutama melibatkan penegak undang-undang terlibat makan rasuah.
Ada yang sampai ke tahap berbangga mempertontonkan hasil
rasuah mereka. Inilah yang sebenarnya begitu membimbangkan.
Masih ingatkah kita dengan sekumpulan pegawai kanan polis di Bukit Aman
ditukarkan dan ditahan kerana didakwa melindungi sindiket dadah.
Kemudian sekumpulan anggota polis di Melaka ditahan kerana
disyaki ambil imbuhan bagi melindungi pengusaha pusat judi dan rumah urut.
Penguat kuasa lindungi aktiviti haram - cerita biasa kita
dengar. Masyarakat sudah lali.
Cuma kali ini tindakannya agak luar biasa. Rangkaian
"rasuah berjemaah" daripada ketua polis daerah, anggota biasa serta
orang hubungan diberkas. Akaun bank bernilai RM459,000 milik sembilan individu
termasuk enam pegawai kanan dipercayai melindungi aktiviti haram di sekitar
Melaka itu dibekukan.
Wang tunai bernilai RM186,000 ditemukan di rumah suspek.
Kemudiannya wang tunai RM800,000 ditemukan di stor rumah polis milik seorang
koperal. Wang itu dipercayai daripada tauke-tauke judi haram sejak awal tahun
ini.
Tindakan seperti ini memang sangat dinanti-nantikan
masyarakat. Mereka sudah lelah dan bosan dengan cerita klise si tauke
dilindungi polis seperti tiada siapa peduli dengan rantaian rasuah itu.
Bagaimanapun, masih timbul persoalan apa terjadi terhadap
individu dikenali dengan ‘Gopi’ yang sebelum ini ditahan kerana dipercayai
menjadi orang tengah di antara pihak berkuasa dengan sindiket judi.
Bukan kecil peranannya, ini kerana Gopi didakwa turut
membantu mewujudkan sebuah konsortium bagi mengumpul dana dalam kalangan
operator judi, khusus untuk tujuan pengagihan wang rasuah kepada pihak penguat
kuasa.
Malah dia turut dikatakan mempunyai ‘kuasa’ menukarkan
pegawai kanan termasuk Ketua Polis daerah yang enggan bekerjasama dalam
melindungi sindiket judi haram.
Selain itu, media turut melaporkan Gopi berupaya berbuat
demikian kerana mempunyai ‘hubungan’ rapat dengan pengurusan kanan pasukan
penguat kuasa. Benarkah dakwaan ini?
Soalnya sekarang, adakah Gopi masih dalam siasatan? Apa
tindakan terhadapnya walaupun dia adalah antara tiga orang awam yang ditahan
bersama-sama 11 pegawai termasuk anggota polis pada Mei lalu kerana didapati
melindungi premis judi serta rumah urut di Melaka.
Sama ada dia bersalah atau tidak itu soal lain, sebaliknya
orang ramai ingin tahu apa perkembangan Gopi yang sebelum ini turut mendakwa
dia mempunyai senarai nama anggota penguat kuasa yang terlibat melindungi rangkaian
haram berkenaan.




No comments:
Post a Comment