StatCounter

Sunday, 15 October 2017

KITA YANG PENTINGAN DIRI, PEJAM MATA DAN PEKAKKAN TELINGA?


‘Rasuah Musuh Nombor 1 Negara’ dilihat cukup signifikan kerana mutakhir ini masalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilihat semakin kritikal dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk memeranginya dari peringkat akar umbi lagi.

Hakikatnya tugas dan tanggungjawab memerangi rasuah tidak boleh disandarkan pada bahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata. Walaupun memang betul itu adalah tugas hakiki SPRM namun setiap seorang daripada kita juga ada peranan dalam memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada amalan rasuah.

Penulis agak tertarik dengan sasaran yang ditetapkan SPRM iaitu menjadikan ‘RASUAH MUSUH NOMBOR 1 NEGARA’. Walaupun sasaran itu terlalu ideal namun penulis percaya ia tidak mustahil untuk dicapai andai seluruh rakyat memberikan sokongan dalam setiap usaha membanteras rasuah.

Perlu diingatkan sepanjang tahun ini saja, tangkapan demi tangkapan membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi. Beberapa orang penjawat awam dan pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan ditahan membabitkan nilai rasuah yang cukup tinggi termasuk rampasan dalam bentuk wang tunai dan aset seperti kereta dan rumah.

Gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mengenal usia, agama mahupun bangsa. Baik belia mahupun golongan dewasa semuanya boleh terjebak dengan mudah andai gagal membudayakan nilai-nilai integriti yang tinggi. Justeru, masalah ini harus dilihat dalam konteks yang lebih meluas.

Dalam hal ini masyarakat boleh memainkan peranan dengan membantu agensi penguatkuasaan memerangi rasuah secara menyeluruh.

Masyarakat juga perlu bertindak sebagai telinga dan mulut kepada pihak berkuasa. Seperti kata SPRM, mencegah rasuah bukan usaha eksklusif agensi itu semata-mata sebaliknya rakyat perlu membantu dan memberikan sokongan sepenuhnya.

Dalam konteks ini, orang ramai wajar berani melaporkan sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku di sekeliling. Ini adalah tanggungjawab sosial dan juga moral setiap warganegara yang mahukan negara ini bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.

Penulis percaya ramai dalam kalangan kita tahu atau terdedah kepada maklumat tentang amalan rasuah mahupun salah guna kuasa di sesebuah jabatan namun memilih untuk memejamkan mata dan memekakkan telinga.

Kebiasaannya kita hanya akan marah mahupun bertindak jika ia melibatkan diri mahupun keluarga kita.

Sikap mementingkan diri seperti inilah yang menyebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di negara ini.

No comments:

Post a Comment